EquitiesTracker, Santiment bekerjasama teroka potensi aset digital terkawal | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EquitiesTracker, Santiment bekerjasama teroka potensi aset digital terkawal

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 7 Okt  – Syarikat penyelidikan pelaburan berlesen, EquitiesTracker Holdings Bhd mengumumkan langkah penting dalam transformasi digitalnya menerusi pelaburan strategik dan kerjasama dengan Santiment AG, firma analitik data kripto berpangkalan di Switzerland.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kerjasama ini menjadikan EquitiesTracker sebagai rakan strategik pertama Santiment dalam rancangan peluasan perniagaannya ke rantau ini, khususnya dalam membangunkan teknologi verifikasi untuk strategi aset digital bertaraf institusi.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EquitiesTracker, Alvin Vong, kerjasama ini bukan sekadar melibatkan perkongsian teknologi, malah bakal membentuk asas kepada ekosistem kewangan masa depan yang lebih terbuka dan terkawal.

 

“Kami melihat Santiment bukan hanya sebagai pembekal data, tetapi sebagai arkitek kepada infrastruktur kewangan masa depan.

 

"Kerjasama ini membolehkan aset digital berkembang dalam rangka kerja yang dikawal selia, sekaligus memperkukuh perlindungan pelabur dan membuka peluang baharu industri,” katanya.

 

Santiment terkenal dengan kepakaran dalam pembangunan Web3, data on-chain serta analitik berasaskan kecerdasan buatan (AI), manakala EquitiesTracker membawa kekuatan dalam kawal selia dan pengurusan dana berlesen. 

 

Gabungan ini bakal melahirkan produk pelaburan generasi baharu yang menekankan pematuhan, ketelusan dan prestasi.

 

Pengasas Santiment, Maksim Balashevich berkata langkah ini bukan hanya pelaburan tetapi asas membina lapisan reputasi kekal untuk dunia kewangan secara menyeluruh – merangkumi Web3 dan TradFi.

 

Lembaga Pengarah EquitiesTracker yakin kerjasama strategik ini meningkatkan nilai syarikat dan membuka laluan kepada pemain institusi untuk mengakses strategi perdagangan aset digital dengan lebih selamat. - DagangNews.com