KUALA LUMPUR 2 Mac - EPIC Berhad mengumumkan dua pelantikan penting dalam kepimpinan Kumpulan berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Pelantikan pertama ialah Wan Mohd Azilah Wan Abdullah sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan berkuat kuasa 1 Mac 2026.
Beliau sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sejak menyertai EPIC pada Ogos 2019.
Dalam peranan baharu ini, Wan Mohd Azilah bertanggungjawab menyelia fungsi operasi Kumpulan, memacu usaha pengoptimuman prestasi, dan memastikan pelaksanaan strategi yang berkesan di semua subsidiari.
Wan Mohd Azilah memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, dan merupakan ahli Malaysian Institute of Accountants (MIA) serta Associate Member Institute of Internal Auditors Malaysia (IIAM).
Beliau mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor perakaunan dan kewangan, termasuk pengalaman signifikan di Shell Malaysia dan FELCRA Berhad.
Sementara itu, Suhana Kamaludin dilantik sebagai Pemangku Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, berkuat kuasa 1 Mac 2026. Sebelum ini, beliau merupakan Pengurus Besar Kewangan dan Teknologi Maklumat EPIC.
Pelantikan ini adalah sebahagian daripada usaha EPIC untuk memperkukuh struktur kepimpinan dan memacu pertumbuhan organisasi secara mampan. - DagangNews.com








