Elridge Energy meterai perjanjian bekalan biojisim setahun dengan Berkana Power Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Elridge Energy meterai perjanjian bekalan biojisim setahun dengan Berkana Power Thailand

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 22 Jan – Elridge Energy Holdings Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya dalam pasaran biojisim serantau selepas memeterai perjanjian bekalan bahan api biojisim selama setahun dengan syarikat Thailand, Berkana Power Company Ltd.

 

Di bawah memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini, anak syarikat milik penuhnya, Bio Eneco Sdn Bhd, akan membekalkan anggaran 100,000 tan bahan api biojisim kepada Berkana Power dalam tempoh setahun melibatkan 10 penghantaran. 

 

Perjanjian itu turut disertakan dengan pilihan pembaharuan automatik, tertakluk kepada terma dan syarat yang dipersetujui bersama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Elridge Energy, Oliver Yeo berkata, perjanjian tersebut mencerminkan keupayaan Bio Eneco untuk menyokong penghantaran bahan api biojisim secara berkala dan berkapasiti tinggi bagi memenuhi permintaan penjanaan kuasa di peringkat serantau.

 

“Thailand kekal sebagai pasaran penting bagi tenaga biojisim. Selain jumlah tahunan, kekerapan penghantaran serta struktur pembaharuan perjanjian ini memberikan keterlihatan operasi dan fleksibiliti kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Beliau menambah, struktur perjanjian itu sejajar dengan strategi kumpulan untuk membina portfolio kontrak yang seimbang, merangkumi perjanjian jangka panjang dan susunan bekalan kitaran lebih pendek di rantau ini.

 

Elridge Energy terlibat terutamanya dalam pembuatan dan perdagangan produk bahan api biojisim khususnya tempurung isirung sawit dan pelet kayu. 

 

Pelanggan kumpulan kebanyakannya terdiri daripada syarikat perdagangan biojisim yang membekalkan kepada pengguna akhir seperti pengeluar industri dan pengendali loji janakuasa biojisim.

 

Menurut laporan tahunan kumpulan, operasi Elridge Energy meliputi beberapa pasaran utama termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, Thailand dan Jepun, sejajar dengan pertumbuhan permintaan tenaga boleh diperbaharui di rantau Asia Pasifik. - DagangNews.com