ELK-Desa catat untung bersih RM32 juta bagi FY26, susut 3% disebabkan pembiayaan baharu merosot | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ELK-Desa catat untung bersih RM32 juta bagi FY26, susut 3% disebabkan pembiayaan baharu merosot

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 20 JulaiELK-Desa Resources Berhad mencatatkan penurunan keuntungan bersih 3% kepada RM31.55 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 berbanding RM32.65 juta pada FY25.

 

Kejatuhan itu disebabkan kemerosotan jumlah pembiayaan sewa beli baharu sebanyak 19% kepada RM222.08 juta, dengan syarikat mengambil langkah berhati-hati bagi mendepani risiko kredit yang naik.

 

Bagaimanapun maklumnya kepada Bursa Malaysia, kesan penurunan itu dikurangkan oleh keuntungan tidak berulang RM2.11 juta daripada agihan syarikat bersekutu yang sedang dalam proses pembubaran.

 

"Walaupun untung bersih susut, hasil ELK-Desa naik 4% kepada RM203.91 juta berbanding RM196.68 juta pada tahun lepas, didorong sumbangan lebih tinggi menerusi segmen sewa beli," jelas kumpulan itu.

 

Segmen ini jelasnya, kekal sebagai penyumbang utama dengan hasil meningkat kepada RM133.69 juta, namun untung sebelum cukai (PBT) segmen ini pula menyusut kira-kira 11% kepada RM35.15 juta. 

 

Selain itu, peningkatan peruntukan kemerosotan nilai sebanyak 12% atau RM49.36 juta dipicu oleh tunggakan akaun yang melonjak pada Mac 2026 berikutan kecairan tunai peminjam terjejas teruk.

 

ELK-Desa_DagangNews2026

 

Kata ELK-Desa, kumpulan berkenaan didapati lebih berhati-hati dan menangguhkan pembayaran akibat ketidaktentuan ekonomi semasa ekoran konflik di rantau Timur Tengah meningkatkan kos dan hutang.

 

"Prestasi segmen perabot pula menunjukkan ada pertumbuhan positif dengan pendapatan meningkat kira-kira 2% kepada RM70.21 juta, manakala PBT melonjak 50% kepada sebanyak RM6.47 juta," katanya.

 

Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim kedua 2.5 sen sesaham yang sudah dibayar kepada pemegang saham pada 25 Jun 2026, menjadikan jumlah keseluruhan bagi FY26 adalah 4.5 sen sesaham.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2027 (FY2027), ELK-Desa menjangkakan persekitaran operasi yang lebih mencabar dan kumpulan berwaspada dengan pertumbuhan yang minimum dalam segmen sewa beli.

 

Perkembangan tersebut ujarnya, berikutan faktor ketidaktentuan harga tenaga dan kos sara hidup yang terus menekan pendapatan boleh guna ramai pengguna untuk terus berbelanja dengan lebih banyak.

 

Pihak pengurusan kumpulan namun komited untuk mengekalkan disiplin kos dan pengurusan kredit yang ketat bagi mengharungi cabaran ekonomi global yang tidak menentu. - DagangNews.com