Eksport minyak sawit Malaysia susut pada Ogos, tekanan persaingan Indonesia dan Amerika Latin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport minyak sawit Malaysia susut pada Ogos, tekanan persaingan Indonesia dan Amerika Latin

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Sept - Eksport minyak sawit Malaysia merosot ketara pada Ogos, menandakan tekanan persaingan semakin hebat daripada Indonesia serta pengeluar Amerika Latin, menurut data terbaharu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan syarikat pemeriksa kargo.

 

Eksport jatuh 10% bulan ke bulan pada Ogos 2025 meskipun terdapat permintaan tertunggak dari India, antara pembeli terbesar dunia.

 

Penganalisis berkata Indonesia semakin agresif menguasai pasaran, manakala India pula beralih kepada bekalan lebih murah dari Colombia dan Guatemala yang berdepan lambakan hasil pengeluaran, lapor Reuters.

 

Awal September turut menyaksikan prestasi hambar. Data Intertek Testing Services menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia susut lagi 1.2% dalam tempoh 1–10 September berbanding tempoh sama Ogos, sejajar dengan jangkaan pasaran.

 

Inventori Meningkat

Data MPOB mencatatkan inventori minyak sawit pada Ogos sebanyak 2.2 juta tan, naik 2% bulan ke bulan dan 11% lebih tinggi berbanding tahun lalu.

 

Peningkatan itu dipacu oleh pengeluaran yang melebihi eksport, dengan Sarawak (+15%) dan Sabah (+4%) memacu pemulihan hasil selepas gangguan cuaca sebelum ini.

 

Penganalisis menjangkakan inventori kekal tinggi pada September, memandangkan strategi harga kompetitif Indonesia terus menekan momentum eksport Malaysia.

 

Harga CPO Jadi Penampan

Walaupun cabaran eksport berterusan, syarikat perladangan dijangka mengekalkan prestasi keuntungan, disokong harga minyak sawit mentah (CPO) yang kekal sekitar RM4,300 satu tan.

 

CGS International Research mengekalkan pendirian Neutral terhadap sektor ini, dengan alasan bekalan minyak sayuran global yang mencukupi serta asas permintaan yang sederhana.

 

Namun, terdapat potensi kenaikan harga CPO pada suku keempat, dipacu permintaan lebih kukuh daripada mandat biofuel Amerika Syarikat.

 

“Pemain perladangan huluan kekal sebagai penerima manfaat dalam persekitaran harga semasa,” kata firma penyelidikan itu, sambil mencadangkan pengumpulan saham huluan Malaysia seperti Hap Seng Plantations dan Ta Ann yang menawarkan hasil menarik. Ia turut mengekalkan pandangan positif terhadap SD Guthrie, berikutan inisiatif pelupusan aset bukan teras yang berpotensi menjana pulangan dividen.

 

Risiko Mendatang

Antara risiko kenaikan harga CPO termasuk ketegangan geopolitik atau perubahan dasar yang mengehadkan bekalan minyak sayuran global. Risiko penurunan pula termasuk pertumbuhan pengeluaran lebih tinggi daripada jangkaan bagi minyak sawit dan biji minyak.

 

Buat masa ini, Malaysia berdepan cabaran berganda untuk mengekalkan daya saing eksport sambil mengurus inventori yang meningkat, tatkala pesaing terus menawarkan harga lebih rendah. - DagangNews.com