KUALA LUMPUR 11 Sept - Eksport elektrik dan elektronik (E&E) Malaysia dijangka mengatasi rekod RM601.21 bilion yang dicapai pada 2024, didorong terutamanya oleh sektor semikonduktor yang setakat ini masih terselamat daripada tarif Amerika Syarikat (AS), meskipun wujud ancaman pengenaan duti sehingga 100% oleh Presiden AS, Donald Trump.
Pada 2024, eksport semikonduktor menyumbang RM437.5 bilion daripada keseluruhan eksport E&E Malaysia, dengan RM56.2 bilion daripadanya dihantar ke AS.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, eksport E&E meningkat 17.3% tahun ke tahun kepada RM391 bilion, dengan Julai sahaja merekodkan RM63 bilion — meningkat 17.3% berbanding Jun dan 23% berbanding Julai 2024.
Presiden Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), Datuk Seri Wong Siew Hai berkata sektor berkenaan berpotensi mengatasi prestasi 2024 sekiranya tiada kejadian luar jangka. Namun begitu, ancaman tarif 100% terhadap semikonduktor dari negara yang tidak mempunyai rancangan pengeluaran cip di AS menimbulkan ketidaktentuan terhadap prospek jangka panjang.
Eksport semikonduktor Malaysia ke AS ketika ini tidak dikenakan tarif balas, namun keadaan itu boleh berubah bergantung kepada dasar AS pada masa depan.
“Jualan global semikonduktor dijangka meningkat 11.2% tahun ini, dipacu terutamanya oleh segmen AI, dan sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan global semikonduktor, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada sebahagian pertumbuhan ini,” katanya kepada The Edge Market.

Pemain semikonduktor tempatan melihat potensi pertumbuhan, tetapi pandangan mereka bercampur-campur berikutan tren pasaran yang berbeza.
Ketua Pegawai Eksekutif ViTrox Corporation Bhd, Datuk Chu Jenn Weng menjangkakan momentum kukuh pada separuh kedua 2025, dipacu oleh infrastruktur AI, peranti berasaskan 5G, kenderaan elektrik dan teknologi perubatan canggih. ViTrox menyediakan sistem pemeriksaan mesin penglihatan automatik.
Beliau berkata pasaran global semikonduktor dijangka berkembang lebih 11% pada 2025. Pelaburan peralatan juga meningkat 21%, menunjukkan industri sedang bersedia menghadapi permintaan lebih tinggi.
“Dengan tren sekular dalam AI dan pendigitalan yang terus berkembang, prospek industri kekal menjanjikan dan pelanggan sudah pun menyusun barisan pengeluaran baharu untuk kekal mendahului,” katanya.

Namun, syarikat reka bentuk semikonduktor Oppstar Bhd dalam ulasan keputusan terbarunya menjangka prospek bercampur-campur dan lebih berhati-hati, disebabkan ketidaktentuan global, permintaan lemah bagi elektronik pengguna, kelewatan perbelanjaan, serta ketegangan perdagangan yang berulang.
Penyedia teknologi automasi dan penyelesaian pembuatan Pentamaster Corporation Bhd pula menjangkakan prestasi mendatar tahun ini.
Pengerusi Eksekutifnya, Datuk CB Chuah berkata perniagaan peralatan ujian semikonduktor syarikat kekal stabil, namun jualan automotif yang lemah — terutamanya dalam segmen kenderaan elektrik — telah menjejaskan permintaan bagi penguji silikon karbida (SiC) modul kuasa, yang menyumbang kira-kira 30% hasil syarikat. Persaingan harga dalam pasaran SiC turut menekan margin. Setiap penguji berharga sekitar AS$500,000 (RM2.11 juta) hingga AS$2 juta.
Menurut CIMB Securities dalam nota yang diterbitkan Selasa lalu, sektor teknologi Malaysia mencatatkan peningkatan jualan sederhana sebanyak 1.4% suku ke suku (q-o-q) pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q2025), dipacu oleh segmen peralatan ujian automatik (ATE) dan pemasangan serta ujian semikonduktor berkontrak (OSAT).
Namun, jualan dalam segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) susut 4.3%. Pertumbuhan turut disokong oleh penghantaran peralatan yang kukuh daripada ViTrox serta kadar penggunaan tinggi di kilang China milik Malaysian Pacific Industries Bhd dan Unisem (M) Bhd.
Walaupun begitu, keuntungan bersih sektor ini merosot 9.5% q-o-q, dipengaruhi kerugian Genetec Technology Bhd, kadar penggunaan rendah di Unisem Malaysia, serta prestasi lemah EMS. Hanya MPI, ViTrox dan VS Industry Bhd mencatatkan pertumbuhan keuntungan pada suku tersebut.
Segmen semikonduktor dipacu AI kekal sebagai enjin utama pertumbuhan, dengan gergasi industri Nvidia, AMD dan Broadcom menjangka jualan kukuh pada 3Q2025.
Di luar AI, sektor automotif dan industri menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Pengeluar cip utama seperti NXP, Infineon dan STMicroelectronics melaporkan lambakan inventori automotif semakin reda dan aktiviti penambahan semula stok sedang berlaku.

Onsemi pula mencatatkan lonjakan jualan 23% secara suku ke suku di China pada 2Q2025, didorong permintaan SiC untuk pengeluaran baharu EV.
Secara keseluruhan, syarikat semikonduktor ini menjangkakan pertumbuhan jualan antara 4% hingga 15% pada 3Q2025.
Sebanyak 15 syarikat semikonduktor global utama meramalkan peningkatan 7.6% q-o-q, mengatasi unjuran 2.2% oleh CIMB Securities untuk sektor teknologi Malaysia (ATE, EMS, OSAT).
Jurang ini sebahagian besarnya berpunca daripada kadar penggunaan lebih lemah dalam segmen EMS. Tidak termasuk EMS, segmen ATE dan OSAT Malaysia dijangka berkembang 5.8% q-o-q pada 3Q2025. - DagangNews.com








