KUALA LUMPUR 5 Ogos - Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) kini tidak lagi hanya dianggap sebagai inisiatif pengindahan pejabat semata-mata, sebaliknya telah berkembang menjadi sebahagian sistem kerja strategik di Universiti Putra Malaysia (UPM), merangkumi aspek pengurusan visual, disiplin organisasi, pendigitalan data dan amalan lestari.
Sehubungan itu, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPDP), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat telah melakukan lawatan penanda aras ke UPM baru-baru ini bagi meninjau pelaksanaan sistem EKSA di universiti penyelidikan bertaraf antarabangsa tersebut.
Delegasi enam orang yang diketuai Ketua Pusat Pengajian FPDP, Dr. Nor Hazila Ismail turut disertai Penyelaras EKSA UiTM Johor, Husnizam Hosin; Ketua Unit EKSA FPDP, Muhammad Addin Burhanuddin serta beberapa ahli jawatankuasa pelaksana fakulti.
Lawatan itu bertujuan memahami secara langsung bagaimana pendekatan EKSA di UPM boleh disesuaikan secara praktikal ke dalam konteks pengurusan fakulti berskala kecil seperti FPDP, terutama dalam situasi nisbah staf yang tinggi berbanding keluasan ruang kerja.


Pendekatan digital, integrasi ISO jadi teras pelaksanaan
Sesi taklimat utama disampaikan oleh Penolong Pendaftar Kanan merangkap Pegawai Kawalan Dokumen ISO UPM, Nurainakmal Kamal Bahrin yang memperkenalkan Panduan EKSA Edisi 2.0 – dokumen rujukan komprehensif merangkumi struktur organisasi, jadual penilaian dan integrasi menyeluruh bersama sistem pengurusan kualiti ISO.
Menurut beliau, semua pusat tanggungjawab di UPM diwajibkan mengemukakan laporan penilaian secara dalam talian dalam tempoh 14 hari selepas audit.
Penilaian pula dibahagikan kepada dua peringkat – 40% kendiri dan 60% oleh Bahagian CQA universiti.
Transformasi ruang kerja dan budaya lestari
Sesi kedua bersama Timbalan Pendaftar merangkap Pengerusi EKSA Fakulti Kejuruteraan UPM, Lailawati Bakar pula memberi peluang kepada delegasi meninjau pelaksanaan sebenar EKSA di ruang kerja pensyarah, bilik mesyuarat dan ruang kolaboratif.
Antara elemen penting yang diperhatikan termasuklah pelabelan fungsi, paparan visual peranan dan tanggungjawab serta susun atur ruang secara sistematik yang menyumbang kepada peningkatan kesedaran pengguna.
Delegasi turut didedahkan kepada pendekatan lestari kreatif seperti penggunaan bahan kitar semula untuk menghasilkan rak dokumen, perabot dan kaunter informasi yang bukan sahaja menjimatkan kos tetapi memupuk nilai kelestarian dalam operasi seharian fakulti.
Lawatan turut dibawa ke projek tenaga solar ikonik UPM – sistem fotovoltaik atas bumbung serta projek solar terapung hidroponik di tasik kampus yang telah menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.


Adaptasi, bukan meniru
FPDP menegaskan bahawa input dan amalan yang diperoleh dari lawatan tersebut bukan untuk ditiru secara langsung, sebaliknya untuk disesuaikan mengikut keperluan dan kapasiti tempatan kampus cawangan.
“EKSA bukan sekadar hiasan ruang atau persiapan audit. Ia adalah budaya kerja yang berdisiplin, kos efektif dan mampan. Meskipun beroperasi dalam skala lebih kecil, kami percaya impak besar boleh dicapai menerusi pelaksanaan sistematik dan strategik,” ujar Dr. Nor Hazila.
Lawatan tersebut membuktikan pelaksanaan EKSA berupaya menjadi pemangkin transformasi organisasi yang menyeluruh, selari dengan aspirasi pengurusan awam yang lestari dan berinovasi. - DagangNews.com








