KUALA LUMPUR 13 Nov — Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka berkembang kukuh sekitar 5.1% tahun ke tahun (yoy) pada suku ketiga tahun kalendar 2025 (3QCY25), lebih tinggi berbanding pertumbuhan 4.4% yoy yang dicatatkan pada suku sebelumnya, menurut MBSB Research.
Firma penyelidikan berkata, semakan sedikit menurun daripada anggaran awal 5.2% yoy itu mencerminkan penyederhanaan dalam pertumbuhan sektor perkhidmatan, meskipun momentum pertumbuhan keseluruhan kekal berdaya tahan.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal disokong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh dan aktiviti pelaburan yang semakin rancak.
"Keadaan pasaran buruh yang sihat, bantuan tunai kerajaan serta tekanan inflasi yang masih terkawal terus menyokong keyakinan pengguna,” katanya dalam laporan Previu Akaun Negara 3QCY25 hari ini.
MBSB berkata, prestasi perdagangan luar turut menunjukkan pemulihan yang ketara, di mana eksport bersih barangan melonjak sebanyak 93.6% yoy kepada lebihan RM50.3 bilion, didorong oleh peningkatan eksport yang kukuh berbanding pertumbuhan import yang lebih perlahan.
Firma itu menambah pertumbuhan 3QCY25 yang lebih memberangsangkan turut disokong oleh aktiviti “front-loading” sebelum pelaksanaan dasar baharu perdagangan, serta pengurangan ketidaktentuan selepas rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat.
“Faktor luaran yang lebih stabil serta peningkatan ketibaan pelancong turut menambah sokongan kepada ekonomi tempatan pada suku ini,” menurut laporan itu lagi.
Bagaimanapun, bagi suku keempat 2025 (4QCY25), MBSB menjangkakan pertumbuhan lebih sederhana apabila kesan sementara daripada aktiviti “front-loading” mula berkurangan.
Walaupun begitu, penganalisis mengingatkan risiko ketegangan perdagangan dan geopolitik global masih berpotensi mengganggu kestabilan pasaran dan rantaian bekalan antarabangsa.
Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan KDNK 3Q2025 dianggarkan meningkat sebanyak +5.0% tahun ke tahun (YoY), sedikit lebih rendah daripada anggaran awal +5.2% YoY yang diumumkan pada 17 Oktober 2025, berdasarkan data bagi bulan Julai hingga Ogos 2025.
Menurut bank pelaburan itu, momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan, disokong oleh sektor perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan yang terus berkembang positif, meskipun pertumbuhan sektor pertanian menunjukkan tanda-tanda sederhana.
“Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 3Q2025 dijangka stabil, didorong oleh aktiviti perbelanjaan domestik dan pelaburan yang kukuh, serta pemulihan eksport yang lebih baik,” menurut laporan itu.
Berdasarkan unjuran Maybank IB, sektor perkhidmatan dijangka berkembang +5.0% YoY (berbanding anggaran awal +5.1% YoY; 2Q2025: +5.1% YoY), disokong oleh aktiviti perdagangan runcit, pelancongan dan komunikasi yang kekal kukuh.
Sektor pembinaan diunjur meningkat +10.2% YoY (berbanding AE: +11.2% YoY; 2Q2025: +12.1% YoY), disokong oleh projek infrastruktur awam dan pembangunan hartanah swasta.
Sektor pembuatan kekal mantap pada +4.0% YoY (AE: +4.0% YoY; 2Q2025: +3.7% YoY), mencerminkan peningkatan dalam subsektor elektrik dan elektronik (E&E) serta barangan pengguna.
Sektor pertanian dijangka sederhana pada +0.4% YoY (AE: +0.4% YoY; 2Q2025: +2.1% YoY) berikutan pengeluaran sawit mentah yang lebih perlahan.
Sektor perlombongan pula menunjukkan pemulihan kukuh +10.2% YoY (AE: +10.9% YoY; 2Q2025: -5.2% YoY) hasil peningkatan pengeluaran minyak mentah dan gas asli.
“Walaupun unjuran disemak sedikit lebih rendah daripada anggaran awal, asas ekonomi Malaysia kekal kukuh dan dijangka menyokong pertumbuhan berterusan menjelang penghujung tahun,” tambah laporan itu. - DagangNews.com








