Ekonomi Malaysia dijangka perlahan, Indeks Pendahuluan susut 0.5% — MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka perlahan, Indeks Pendahuluan susut 0.5% — MBSB Research

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 25 Sept - Ekonomi Malaysia dijangka mencatat trajektori pertumbuhan yang lebih perlahan dalam bulan-bulan mendatang apabila Indeks Pendahuluan (LI) susut -0.5% tahun ke tahun (y-o-y) pada Julai 2025, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata penyusutan tersebut lebih ketara berbanding pertumbuhan marginal +0.1% y-o-y yang direkodkan pada Jun, menandakan kelemahan berterusan dalam beberapa penunjuk utama.

 

LI, yang menjadi barometer kepada prospek ekonomi negara, turun kepada 114.3 mata pada Julai berbanding 114.9 mata setahun lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

“Penyusutan ini didorong terutamanya oleh kejatuhan mendadak dalam Import Sebenar Logam Berharga Asas & Bukan Ferus Lain (-16.3% y-o-y) serta kemerosotan dua angka Indeks Perindustrian Bursa Malaysia (-13.4% y-o-y),” kata MBSB Research dalam satu nota hari ini.

 

Dari segi bulanan, LI bagaimanapun meningkat +0.5% pada Julai, menampung semula penyusutan -0.3% pada Jun. Pemulihan ini disokong oleh prestasi lebih kukuh Import Sebenar Semikonduktor (+0.5% m-o-m), bilangan syarikat baharu berdaftar (+0.3% m-o-m) dan kelulusan unit perumahan (+0.3% m-o-m).

 

Indeks Berkebetulan (CI) kekal berdaya tahan

Firma penyelidikan itu turut menekankan, Indeks Berkebetulan atau coincident index (CI), yang mencerminkan aktiviti ekonomi semasa, meningkat +2.2% y-o-y pada Julai (Jun: +1.7%) kepada 129.7 mata. Peningkatan ini disokong oleh prestasi kukuh merentasi semua komponen, terutamanya Sumbangan Sebenar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang melonjak +5.4% y-o-y.

 

Secara bulanan, CI turut berkembang +1.2%, dipacu terutamanya oleh pertumbuhan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPI) dan sumbangan KWSP. Dalam sektor pembuatan, jumlah guna tenaga, gaji sebenar dan kadar penggunaan kapasiti masing-masing meningkat +0.2% m-o-m.

 

Pertumbuhan disokong permintaan domestik

Meskipun terdapat peningkatan dalam CI, MBSB Research memberi amaran, trend jangka panjang terlicin bagi LI kekal di bawah paras 100 mata, menunjukkan momentum pertumbuhan ke hadapan yang lebih perlahan.

 

“Halangan dalam perdagangan luar dijangka berterusan berikutan permintaan yang lebih perlahan daripada rakan dagang utama Malaysia,” kata firma itu.

 

Namun begitu, permintaan domestik yang berdaya tahan akan terus menjadi pemacu utama trajektori ekonomi Malaysia, disokong oleh inflasi yang rendah dan stabil, kenaikan gaji, pemulihan kukuh sektor pelancongan serta pelonggaran dasar monetari baru-baru ini.”

 

MBSB Research mengekalkan pandangan bahawa prospek pertumbuhan jangka pendek Malaysia akan kekal sederhana, dengan permintaan domestik menjadi penampan terhadap kelemahan eksport. - DagangNews.com