EGM Sarawak Consolidated Industries lulus semua resolusi termasuk terbitan 763 juta saham baharu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EGM Sarawak Consolidated Industries lulus semua resolusi termasuk terbitan 763 juta saham baharu

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 15 Jan – Sarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mengumumkan para pemegang saham meluluskan semua resolusi dibentangkan pada Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) diadakan hari ini.

 

Kumpulan itu berkata, antara resolusi utama yang diluluskan ialah cadangan terbitan hak boleh lepas sehingga 763,624,813 saham biasa baharu bersama bilangan waran boleh tanggal percuma yang sama.

 

Terbitan itu akan dilaksanakan berdasarkan satu saham hak dan satu waran bagi setiap satu saham SCIB sedia ada yang dipegang pada tarikh kelayakan yang akan ditentukan kelak.

 

Menurut SCIB, pemegang saham turut meluluskan cadangan pengurangan modal saham terbitan sebanyak RM110 juta selaras dengan Seksyen 117 Akta Syarikat 2016, yang dijangka memberikan fleksibiliti kewangan tambahan kepada kumpulan.

 

Pengerusi Eksekutif SCIB, Datuk Chong Loong Men berkata, keputusan EGM tersebut memberikan kejelasan dan ruang yang lebih luas kepada Syarikat untuk meneruskan inisiatif kewangan dan operasinya secara lebih teratur.

 

“Syarikat menghargai keyakinan dan mandat yang diberikan oleh para pemegang saham kami. Kelulusan ini meletakkan SCIB dalam kedudukan yang lebih baik untuk mengukuhkan kunci kira-kira serta menyokong aktiviti yang dirancang oleh Kumpulan dengan pendekatan yang berdisiplin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, cadangan terbitan hak bersama waran percuma itu bertujuan untuk mengumpul hasil minimum RM10 juta bagi memenuhi keperluan pembiayaan syarikat.

 

SCIB berkata, berdasarkan pekeliling kepada pemegang saham, hasil terbitan tersebut dijangka digunakan terutamanya bagi pembinaan kilang dan pembelian mesin, selain pembayaran balik sebahagian pinjaman bank, keperluan modal kerja serta perbelanjaan berkaitan dengan pelaksanaan cadangan berkenaan.

 

Chong Loong turut berkata, beliau telah memberikan aku janji untuk melanggan terbitan hak, termasuk melalui permohonan berlebihan sekiranya diperlukan, bagi memastikan hasil minimum berjaya dicapai.

 

“Melihat ke hadapan, kelulusan ini menyediakan platform yang lebih jelas untuk SCIB memajukan keutamaan operasi dan pelan pembiayaannya,” katanya.

 

SCIB menegaskan ketika syarikat meneruskan pelaksanaan cadangan yang diluluskan serta inisiatif berterusan lain, kumpulan kekal fokus untuk memperkukuh asas perniagaan, meningkatkan keupayaan pelaksanaan dan meletakkan SCIB pada landasan pertumbuhan yang lebih mampan dalam jangka sederhana hingga panjang. - DagangNews.com