KUALA LUMPUR 23 Jan – EG Industries Berhad mengumumkan rancangan untuk memperluas operasi pembuatan mereka di Thailand melalui cadangan pembelian tanah perindustrian dan pembinaan kilang baharu di Prachinburi.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EG Industries berkata langkah itu dijangka menyokong permintaan yang meningkat daripada pelanggan di Amerika Syarikat dalam sektor kenderaan elektrik, penyimpanan tenaga dan aplikasi pusat data.
“Anak syarikat milik penuh EG Industries, SMT Industries Co Ltd telah menandatangani perjanjian jual beli untuk memperoleh tanah perindustrian pegangan bebas seluas 4.95 ekar di 304 Industrial Park, Prachinburi, dengan nilai pembelian kira-kira RM6.1 juta.
“Selepas pemerolehan tanah, SMTI merancang untuk membina sebuah kilang satu tingkat dengan jumlah anggaran kos tanah dan pembinaan sebanyak RM40 juta.
“Projek ini akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman yang dijana sendiri dan pinjaman bank,” menurut makluman tersebut.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EG Industries, Datuk Alex Kang berkata cadangan pemerolehan ini merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan kehadiran pembuatan kumpulan di Thailand dan membuka peluang pertumbuhan baharu.
“Kilang baharu ini membolehkan Kumpulan menghasilkan lebih banyak produk dan pada masa yang sama dapat mengekalkan kerahsiaan serta keperluan khas setiap pelanggan.
“Langkah ini juga membolehkan EG Industries menawarkan fleksibiliti dan skala yang lebih besar kepada pelanggan global,” katanya.
Projek ini dijangka siap menjelang akhir 2026, tertakluk kepada sebarang keadaan luar jangka.
Walaupun cadangan ini tidak dijangka memberi kesan material kepada pendapatan, aset bersih, atau nisbah hutang kumpulan bagi tahun kewangan semasa, ia dijangka menyumbang positif kepada prestasi kumpulan pada tahun-tahun berikutnya.
EG Industries merupakan penyedia rumusan lengkap komponen elektronik dan pembuatan elektronik kepada jenama global dalam sektor elektronik pengguna, ICT, perubatan, automotif dan telekomunikasi.
Kumpulan ini diiktiraf antara 50 pemain pembuatan elektronik teratas di dunia.
Kumpulan menawarkan perkhidmatan menyeluruh termasuk pembuatan peralatan asal (OEM), reka bentuk asal (ODM), pemasangan papan litar bercetak, pemasangan komponen modular, dan penyelesaian kotak lengkap.
Dengan lebih daripada 3,000 pekerja, sekitar 70% adalah pekerja tempatan yang ditempatkan di kilang di Kedah, Pulau Pinang dan Prachinburi.
Peluasan operasi di Thailand dijangka memperkukuh lagi keupayaan kumpulan dalam memenuhi permintaan pelanggan antarabangsa. - DagangNews.com








