KUALA LUMPUR 29 Jan – Econpile Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Econpile (M) Sdn Bhd, menerima tender subkontrak bernilai RM24,001,415.70 bagi kerja-kerja pembinaan di Kemensah, Hulu Kelang.
Dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia, lembaga pengarah Econpile mengesahkan syarikat itu telah menerima Surat Anugerah bertarikh 20 Januari 2026 daripada Al-Ambia Sdn Bhd hari ini untuk melaksanakan kerja-kerja tanah, cerucuk gerudi, pile cap serta tembok penahan konkrit bertetulang.
Skop kerja tersebut adalah bagi cadangan pembangunan sebuah blok pangsapuri kos percuma setinggi 18 tingkat yang merangkumi 306 unit, bersama kemudahan parkir, taman bumbung, aras fasiliti dan ruang utiliti di Lot PT 18775, Kemensah, Mukim Hulu Kelang, Daerah Gombak, Selangor.
Menurut pemakluman itu, projek berkenaan akan dilaksanakan dalam tempoh 14.5 bulan bermula 12 Januari 2026 iaitu tarikh mula yang dinyatakan dalam Surat Anugerah.
Sebarang lanjutan tempo, termasuk arahan yang menjejaskan masa permulaan, akan ditangani selaras dengan peruntukan kontrak.
Econpile berkata, projek tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan mulai tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
Syarikat turut menjelaskan tiada risiko ketara yang dijangka selain risiko operasi biasa sepanjang tempoh kontrak, dan pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan serta prosedur operasi bagi mengurangkan kesan atau kebarangkalian risiko tersebut.
Dalam pada itu, Econpile mengesahkan tiada pengarah atau pemegang saham utama termasuk pihak yang berkaitan, mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan. - DagangNews.com








