EcoFirst kaut untung bersih RM12.9 juta bagi 1HFY26, dipacu kemajuan projek KL 48 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoFirst kaut untung bersih RM12.9 juta bagi 1HFY26, dipacu kemajuan projek KL 48

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Jan - EcoFirst Consolidated Berhad mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.89 juta bagi tempoh enam bulan terkumpul tahun kewangan 2026 yang berakhir 30 November 2025.


Kumpulan berkenaan turut merekodkan keuntungan bersih kira-kira RM2.42 juta bagi suku kedua, dengan prestasi positif ini didorong terutamanya oleh kemajuan kerja yang dipercepatkan bagi projek KL 48.


Selain itu menurut makluman syarikat tersebut kepada Bursa Malaysia, kos kewangan yang didapati lebih rendah, berikutan daripada langkah pengurusan terus mengurangkan komitmen pinjaman bergear.


"Bagi tempoh enam bulan berakhir 30 November 2025, EcoFirst mencatatkan perolehan lebih tinggi sebanyak RM201.73 juta berbanding RM175.47 juta pada tempoh sama tahun sebelum itu," katanya.


Prestasi segmen pelaburan hartanah menyumbang hasil sewaan yang lebih baik iaitu RM8.76 juta, disokong oleh kadar penghunian yang meningkat di South City Plaza, Seri Kembangan, Selangor.


Keuntungan kasar kumpulan tersebut jelasnya, turut meningkat kepada kira-kira RM38.00 juta dengan margin keuntungan kasar sebanyak 19%, berbanding hanya 17% yang direkodkan pada tahun sebelumnya.


Bagaimanapun, perolehan bagi suku semasa iaitu RM78.28 juta, adalah lebih rendah berbanding suku sebelumnya (RM123.45 juta) disebabkan kemajuan kerja berbaki yang berkurangan bagi projek KL 48.


"EcoFirst menyatakan keyakinan terhadap pertumbuhan jangka panjang dengan perancangan melancarkan projek pembangunan bercampur di Jade Hills, Kajang, Selangor pada suku kedua 2026," tambahnya.


Projek baharu tersebut kata kumpulan pemaju hartanah berkenaan, merangkumi pelbagai siri kediaman mampu milik, yang dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM400.0 juta.


Kumpulan juga giat mengembangkan simpanan tanah di lokasi strategik bagi ketersediaan pembangunan tinggi dan memperkukuh daya tahan portfolio perniagaan dalam persekitaran makro yang mencabar.


Setakat 20 Januari 2026, syarikat memegang 44,649,700 saham biasa sebagai saham perbendaharaan, dan laporan interim ini sudah diluluskan Lembaga Pengarah pada 27 Januari 2026. - DagangNews.com