Duopharma raih kontrak tiga tahun bekal insulin kepada KKM bernilai RM155 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma raih kontrak tiga tahun bekal insulin kepada KKM bernilai RM155 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 Jun – Duopharma Biotech Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Duopharma (M) Sdn Bhd (DMSB) memperoleh kontrak bekalan insulin manusia rekombinan bernilai kira-kira RM155.28 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Kontrak tersebut melibatkan pembekalan insulin 100 IU/ML dalam bentuk pen isian semula (refill) untuk tempoh tiga tahun bermula 3 Jun 2026 hingga 2 Jun 2029 ke fasiliti hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, ia berkata produk yang dibekalkan merangkumi insulin bertindak pantas, insulin bertindak sederhana, insulin pra-campuran serta pen insulin boleh guna semula yang digunakan dalam rawatan pesakit diabetes.

 

“Kerajaan telah menerima tawaran tender yang dikemukakan oleh DMSB, sekali gus menjadikan surat anugerah (LOA) sebagai kontrak yang mengikat antara kedua-dua pihak.

 

“Di bawah terma kontrak, DMSB dikehendaki menyerahkan bon prestasi tidak boleh batal bernilai RM2.59 juta dalam tempoh 30 hari selepas pengesahan penerimaan LOA.

 

“Syarikat juga perlu memastikan setiap bekalan memenuhi spesifikasi kualiti serta dihantar dalam tempoh yang ditetapkan oleh kerajaan. Kegagalan mematuhi syarat ini membolehkan kerajaan membatalkan pesanan atau mengenakan penalti,” katanya dalam makluman itu.

 

Selain itu, kerajaan berhak menamatkan kontrak sekiranya berlaku kegagalan menyerahkan bon prestasi, kelewatan penghantaran, ketidakpatuhan spesifikasi, pelanggaran terma tender, kegagalan mendapatkan kelulusan bagi jualan atau pemindahan ekuiti sepanjang tempoh kontrak atau atas kepentingan awam, keselamatan dan kepentingan negara.

 

t
Gambar hiasan Unsplash.com

 

Duopharma turut diwajibkan melaksanakan Program Latihan Profesional dan Pendidikan untuk Usahawan (PROTÉGÉ) seperti ditetapkan kerajaan tanpa sebarang kos kepada pihak kerajaan sepanjang tempoh kontrak.

 

Menurut syarikat, kontrak ini merupakan sebahagian daripada operasi perniagaan biasa kumpulan dan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta pendapatan sesaham (EPS) sepanjang tempoh tiga tahun tersebut.

 

Duopharma menjelaskan bahawa pembiayaan operasi di bawah kontrak ini akan dilakukan melalui dana dalaman serta kemudahan dagangan jangka pendek berdasarkan keperluan semasa, tanpa memberi kesan material kepada tahap keberhutangan kumpulan.

 

Syarikat turut menegaskan bahawa kontrak ini tidak melibatkan penerbitan saham baharu, sekali gus tidak memberi kesan kepada modal saham atau struktur pemilikan pemegang saham utama.

 

Walaupun dijangka positif kepada prestasi kewangan, Duopharma mengakui terdapat risiko pelaksanaan termasuk aspek logistik, penyimpanan dan penghantaran, perubahan persekitaran ekonomi dan peraturan, serta risiko rantaian bekalan seperti kekurangan bahan mentah dan tenaga kerja mahir.

 

Namun begitu, syarikat menyatakan ia mempunyai pengalaman luas serta rekod prestasi kukuh dalam industri farmaseutikal bagi mengurus dan mengurangkan risiko berkenaan.

 

Dengan kontrak ini, Duopharma terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pembekal utama insulin kepada sektor kesihatan awam negara, sejajar dengan peningkatan jumlah pesakit diabetes di Malaysia yang dianggarkan mencecah jutaan kes setiap tahun. - DagangNews.com