Duopharma Biotech catat kenaikan hasil 17.8%, untung 43.4% bagi separuh tahun 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma Biotech catat kenaikan hasil 17.8%, untung 43.4% bagi separuh tahun 2025

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Duopharma Biotech Berhad mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam separuh pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (1H FY2025), dengan perolehan meningkat 17.8% tahun ke tahun kepada RM484.52 juta, disokong oleh prestasi jualan kukuh merentasi semua segmen perniagaan.

 

Bagi suku kedua (Q2 FY2025), perolehan berjumlah RM221.78 juta, dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) dan keuntungan selepas cukai (PAT) masing-masing mencecah RM26.58 juta dan RM20.20 juta, meningkat 21% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

Secara kumulatif, PBT bagi 1H FY2025 melonjak 43.4% kepada RM60.32 juta, manakala PAT meningkat kepada RM45.84 juta.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata keputusan terkini didorong oleh peningkatan jualan kepada sektor awam serta lonjakan sementara dalam bekalan insulin pada suku pertama, apabila kumpulan menyelesaikan pesanan tertunggak susulan normalisasi rantaian bekalan.

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan persekitaran pasaran yang positif dipacu dasar kerajaan dan faktor demografi seperti penuaan penduduk yang menyokong permintaan produk farmaseutikal.

 

"Pada masa yang sama, semakin ramai rakyat Malaysia yang mementingkan kesihatan memilih produk nutrisi.

 

"Kami juga melihat keselarasan jelas antara langkah fiskal dalam Belanjawan 2025 dengan keutamaan jangka sederhana di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang menekankan reformasi kesihatan, menyokong pengilangan domestik dan meningkatkan tahap berdikari dalam rantaian bekalan perubatan serta farmaseutikal,” katanya.

 

Beliau menambah sektor farmaseutikal kini dikenal pasti sebagai Segmen Pertumbuhan Utama di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), manakala RMK-13 memperuntukkan RM40 bilion untuk sektor kesihatan meliputi penaiktarafan infrastruktur, peluasan akses rawatan serta sokongan terhadap penyelidikan dan pengeluaran farmaseutikal.

 

Pada masa ini, anak syarikat Duopharma Biotech memegang 18 Surat Tawaran (LOO) untuk membekalkan 100 produk di bawah Senarai Pembelian Produk yang Diluluskan (APPL) ke fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia sehingga 31 Disember 2026, dengan nilai kontrak dianggarkan berjumlah RM684.15 juta.

 

Syarikat turut mempunyai kontrak bekalan Insugen-Insulin Recombinant Human Formulations kepada kementerian berkenaan sehingga 28 Oktober 2025.

 

Leonard Ariff menambah, pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) baru-baru ini dijangka memberi manfaat kepada kumpulan dalam jangka panjang, sekaligus meredakan kesan kenaikan tarif elektrik dan peluasan cukai jualan serta perkhidmatan (SST).

 

“Kami terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi, pengukuhan kawalan kos dan penyesuaian dengan keadaan pasaran yang berubah agar kekal berdaya tahan dan berdaya saing,” jelasnya.

 

Lembaga Pengarah turut mengumumkan dividen interim sebanyak 1.5 sen sesaham bagi tempoh kewangan semasa berakhir 30 Jun 2025, berjumlah kira-kira RM14.43 juta.

 

Ini merupakan peningkatan 50% berbanding dividen interim 1.0 sen sesaham (RM9.62 juta) yang diumumkan bagi tempoh sama tahun lalu. Tarikh kelayakan ditetapkan pada 9 September 2025 dengan tarikh pembayaran pada 24 September 2025. - DagangNews.com