Dua individu didenda RM100,000 setiap seorang kerana gagal lapor rasuah berkaitan projek Lebuh Raya MEX II | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dua individu didenda RM100,000 setiap seorang kerana gagal lapor rasuah berkaitan projek Lebuh Raya MEX II

KUALA LUMPUR 2 Okt – Mahkamah Sesyen hari ini menjatuhkan denda RM100,000 setiap seorang ke atas Lee Keng Long dan Chan Chee Keong selepas kedua-duanya mengaku bersalah gagal melaporkan suapan berkaitan dengan pelantikan tiga syarikat sebagai subkontraktor untuk projek Lebuh Raya MEX II.

 

Hakim Suzana Hussin menetapkan hukuman denda tersebut dengan pilihan penjara 3 bulan sekiranya gagal membayar denda. 

 

Kedua-dua tertuduh, Keng Long, 37 seorang penjaga stor dan Chee Keong, 67, jururunding bebas membayar denda tersebut. 

 

Mahkamah turut membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya wang yang dirampas daripada tertuduh dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Keng Long dituduh menerima suapan tunai sebanyak RM500,000 daripada individu bernama Lim Kim Hai sebagai ganjaran kerana menggunakan tiga syarikat miliknya, Villas Hub Sdn Bhd, Jade Centennial Sdn Bhd, dan Bidang Bakat Sdn Bhd agar syarikat itu dijadikan subkontraktor bagi projek yang dilaksanakan oleh Golden Base Construction Sdn Bhd. 

 

Tindakan tersebut didakwa melanggar Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

 

Sementara itu, Chee Keong didakwa menerima suapan tunai RM1.4 juta dari Kim Hai sebagai ganjaran kerana bertindak sebagai orang tengah antara Kim Hai dan individu bernama Boon Joon Siang, untuk memastikan tiga syarikat subkontraktor dilantik dalam projek sama. 

 

Tuduhan itu juga menggunakan Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.

 

Kedua-dua tertuduh turut dituduh gagal melaporkan suapan kepada pegawai SPRM atau polis berdekatan, antara Jun 2017 dan Jun 2018 – satu kesalahan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 25(2).

 

Menurut fakta kes Keng Long yang ketika itu menjalankan perniagaan sewa lori dan memiliki tiga syarikat terbabit, dihubungi oleh kenalannya, Ang Teck Ann, yang memperkenalkan beliau kepada Kim Hai sekitar Mei 2017 di sebuah kedai makan di Klang. 

 

Teck Ann menjelaskan bahawa Kim Hai mencari syarikat untuk “dipinjam nama”, tanpa perlu melakukan kerja fizikal.

 

Chee Keong pula dihubungi oleh kenalannya, Joon Siang (bekas Ketua Kewangan Maju Holdings Sdn Bhd (MHSB), yang berkata bahawa MHSB sedang mencari beberapa syarikat untuk dilantik menjadi subkontraktor projek lebuh raya MEX II, dan mengajak Chee Keong untuk terlibat sebagai orang tengah.

 

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hazel Tan Jia Qi dan Nidzuwan Abd Latip, manakala peguam K Ramalingan mewakili kedua-dua tertuduh. - BERNAMA