DNeX ambil alih 20% pegangan dalam TI EP milik Terengganu Inc | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

DNeX ambil alih 20% pegangan dalam TI EP milik Terengganu Inc

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Jun - Dagang NeXchange Berhad (DNeX) menerusi anak syarikatnya, Ping Petroleum Limited (Ping), memperoleh pegangan ekuiti sebanyak 20% dalam TI Exploration & Production Sdn Bhd (TI EP) daripada TI Petroleum Sdn Bhd, syarikat milik Terengganu Inc.

 

Langkah strategik itu dilihat mampu memperluaskan lagi kehadiran DNeX dalam sektor minyak dan gas Malaysia, selaras dengan usaha kumpulan untuk mengukuhkan perniagaan tenaga serta merebut peluang pertumbuhan baharu dalam industri huluan.

 

Menurut DNeX, pengambilalihan tersebut turut membuka ruang kepada Ping Petroleum untuk meningkatkan penglibatannya dalam sektor tenaga negara menerusi kerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai pengetahuan mendalam mengenai ekosistem industri minyak dan gas di Terengganu.

 

Ping kini terlibat dalam pembangunan semula Abu Cluster di luar pesisir Terengganu dan kerjasama baharu itu dijangka memberikan akses yang lebih luas kepada rangkaian rantaian bekalan, kerangka kawal selia serta keutamaan pembangunan tenaga jangka panjang negeri berkenaan.

 

DNeX berkata, kerjasama dengan Terengganu Inc juga berpotensi menjana sinergi yang signifikan memandangkan syarikat milik kerajaan negeri itu memainkan peranan penting dalam mengurus dan memantau pelbagai entiti perniagaan serta aset pelaburan strategik negeri.

 

“Dengan sokongan kedua-dua pemegang saham, TI EP akan terus memperkukuhkan keupayaan operasi dan kedudukan strategiknya bagi mewujudkan manfaat ekonomi yang mampan menerusi model perniagaan yang dibangunkan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Majlis pertukaran dokumen bagi memuktamadkan urus niaga tersebut diadakan di Kuala Lumpur hari ini selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-55 DNeX.

 

Pengerusi DNeX, Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, pengambilalihan itu bukan sahaja membuka peluang pertumbuhan segera tetapi turut membina asas kukuh bagi pengembangan masa depan dalam sektor huluan Malaysia.

 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc merangkap Ahli Lembaga Pengarah TI Petroleum, Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, pembangunan TI EP sebagai platform pelaburan huluan yang berdaya saing dijangka mewujudkan nilai jangka panjang serta manfaat ekonomi yang mampan kepada negeri itu. - DagangNews.com