Disiplin fiskal, pengurusan ekonomi negara teratur dorong ringgit jadi mata wang terbaik Asia - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Disiplin fiskal, pengurusan ekonomi negara teratur dorong ringgit jadi mata wang terbaik Asia - PM Anwar

KUALA LUMPUR 18 Nov - Disiplin fiskal dan pengurusan ekonomi negara yang teratur mendorong ringgit mencatatkan prestasi terbaik di seluruh Asia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 

Beliau berkata pengukuhan ringgit berbanding dolar AS amat meyakinkan, dengan peningkatan sebanyak 8.2 peratus sehingga 14 November lepas.

 

"Jika dilihat dari sudut domestik, tentunya dasar yang dilaksanakan sejak awal iaitu penyasaran semula subsidi (apabila) penggunaan dana untuk memberikan subsidi tidak memberikan faedah langsung kepada rakyat. Itu kita hentikan.

 

"Penyasaran subsidi seperti pelaksanaan terhadap RON95 memberi kesan yang sangat positif kepada prestasi ringgit," katanya ketika menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

 

Wee Tse bertanyakan punca utama pengukuhan nilai ringgit serta bagaimana pengukuhan itu dapat membantu perkembangan ekonomi negara dalam memastikan manfaat sampai kepada rakyat.

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan itu turut menegaskan langkah menggalakkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara adalah keputusan yang tepat dan selaras dengan amalan antarabangsa.

 

"Korea Selatan serta beberapa negara Eropah termasuk United Kingdom turut mengambil pendekatan serupa, sekali gus menunjukkan keputusan kerajaan adalah wajar meskipun terdapat ahli ekonomi yang mempertikaikannya," katanya. - BERNAMA