KUALA LUMPUR 21 Jan - Pendekatan strategik yang digariskan menerusi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) adalah selari dengan pelan Hala Tuju Jangka Panjang Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), GEMPUR30, yang meletakkan Boustead Holdings Berhad — syarikat milik penuh LTAT — sebagai teras strategik dalam pembangunan keupayaan serta pengukuhan industri pertahanan negara.
Sebagai pemegang amanah wang simpanan persaraan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), LTAT melihat peluncuran DIPN sebagai satu detik penting dalam usaha memperkukuh kedaulatan negara, di samping membina industri pertahanan domestik yang mampan dan berdaya saing dalam jangka panjang.
Ketua Eksekutif LTAT, Mohammad Ashraf Md Radzi berkata, dasar itu membuka peluang strategik untuk menyokong aspirasi Malaysia muncul sebagai Hab Pertahanan Serantau, selari dengan komitmen berterusan LTAT dalam mendukung agenda dan keutamaan Kementerian Pertahanan (MINDEF).
Menurut beliau, menerusi GEMPUR30, Boustead memainkan peranan sebagai pemain strategik industri yang bertanggungjawab membina keupayaan tempatan, menyerap teknologi melalui kerjasama yang berdisiplin serta memastikan aspirasi dasar diterjemahkan kepada hasil yang praktikal dan berimpak tinggi.
“Bagi LTAT, pelaksanaan DIPN merupakan manifestasi jelas mandat kami sebagai pelabur jangka panjang untuk menyokong keselamatan negara, pembangunan teknologi serta kesejahteraan anggota ATM,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, sokongan LTAT terhadap MINDEF dalam melaksanakan DIPN adalah selari dengan tanggungjawab institusi itu untuk memastikan pembangunan industri pertahanan tempatan memberi impak jangka panjang kepada ekosistem industri, ekonomi negara dan kesiapsiagaan pertahanan.
Melalui amalan tadbir urus yang kukuh, pelaburan yang berdisiplin serta kerjasama erat bersama MINDEF dan rakan industri, LTAT komited untuk menyokong pemindahan teknologi, pengukuhan ekosistem vendor tempatan serta pembangunan projek pertahanan nasional yang berdaya maju dan mampan.
“Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan memperkukuh keupayaan pertahanan negara, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara langsung oleh anggota ATM, selari dengan peranan LTAT sebagai pemegang amanah kesejahteraan mereka,” katanya.


Pelancaran DIPN disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan dasar itu sebagai langkah baharu dan strategik bagi memperkukuh keselamatan negara, memulihkan keyakinan terhadap sektor pertahanan serta membina keupayaan industri tempatan yang lebih berwibawa dan berintegriti.
Menurut Perdana Menteri, pelaksanaan DIPN digerakkan berasaskan empat tonggak utama, iaitu pengukuhan tadbir urus dan institusi, pembangunan keupayaan teknologi, pemantapan ekosistem serta rantaian bekalan pertahanan tempatan, selain peningkatan daya saing global dan keupayaan eksport industri pertahanan negara.
Peluncuran DIPN dilihat sebagai langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh rantaian nilai industri pertahanan negara, mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar serta merangsang pertumbuhan teknologi tempatan berimpak tinggi. - DagangNews.com








