Diesel naik 80 sen ke RM4.72 bagi tempoh 19-25 Mac 2026, paras tertinggi dalam sejarah Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Diesel naik 80 sen ke RM4.72 bagi tempoh 19-25 Mac 2026, paras tertinggi dalam sejarah Malaysia

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 19 Mac - Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia meningkat 80 sen kepada RM4.72 seliter, sekali gus mencatat paras tertinggi dalam sejarah Malaysia, manakala harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 Mac.

 

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan pada Rabu bahawa petrol RON97 turut meningkat 70 sen kepada RM4.55 seliter, manakala petrol RON95 tanpa subsidi kekal pada RM3.27 seliter bagi tempoh sama.

 

 

 

 

Petrol RON95 bersubsidi di bawah program BUDI95 terus dikekalkan pada RM1.99 seliter.

 

“Harga minyak mentah global kini telah melepasi paras AS$100 setong sejak tercetusnya konflik Asia Barat. Dalam situasi ini, Kerajaan MADANI mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter melalui BUDI95 bagi melindungi isi rumah, manakala harga bahan api pasaran diselaraskan secara berperingkat sejajar peningkatan harga global sejak krisis bermula pada akhir Februari 2026,” menurut kenyataan kementerian itu.

 

Mungkin naik lagi

Harga minyak mentah berpotensi meningkat lagi daripada paras semasa AS$100 hingga AS$103 setong sekiranya konflik Asia Barat terus mengganggu laluan melalui Selat Hormuz, kata penganalisis kanan minyak mentah Kpler, Muyu Xu.

 

Minyak mentah Brent kini didagangkan antara AS$101 hingga AS$103 setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) berada sekitar AS$92 hingga AS$95 setong.

 

Xu berkata, sekiranya konflik berakhir menjelang pertengahan April, harga berkemungkinan turun dengan cepat ke paras antara AS$80 hingga AS$90 setong.

 

“Namun jika konflik berlarutan, harga minyak akan kekal tinggi atau meningkat lagi apabila kekangan bekalan menjadi lebih ketara dan memerlukan tempoh lebih lama untuk pengeluar Asia Barat menyambung semula pengeluaran,” katanya dalam program Bernama World bertajuk ‘Global Crude Oil Market Outlook Amid Geopolitical Tensions’ di Bernama TV.

 

Tambah beliau, pengeluar minyak di rantau itu telah mengurangkan pengeluaran sekurang-kurangnya 10 juta tong sehari, manakala Iran dilihat lebih berdaya tahan daripada jangkaan walaupun berdepan serangan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel.

 

Beliau turut memberi amaran bahawa negara-negara Asia berdepan risiko kemerosotan permintaan sekiranya kekangan bekalan dan kenaikan harga berterusan dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

 

Mengulas pergerakan minyak terkini, Xu berkata, dari 1 hingga 17 Mac, hanya kira-kira 27 juta tong minyak melalui Selat Hormuz, dengan sekitar 20 juta tong daripadanya dari Iran.

 

“Pengeluar lain pula hanya mampu mengeksport kurang daripada setengah juta tong sehari, kira-kira tiga peratus daripada paras biasa,” katanya sambil menambah gangguan berpanjangan telah memasukkan faktor risiko geopolitik ke dalam harga minyak mentah.

 

 

 

 

 

“Menariknya, pasaran sebelum ini telah menjangkakan penutupan sementara Selat Hormuz sebelum perang bermula dan ramai menganggapnya sebagai senario terburuk. Namun kini laluan penting itu bukan sahaja ditutup, malah telah berlarutan selama tiga minggu, sekali gus mengekang bekalan dan memberi tekanan kepada harga.

 

“Oleh kerana Iran dilihat lebih berdaya tahan daripada jangkaan, konflik ini tidak menunjukkan tanda akan berakhir dalam masa terdekat, menyebabkan premium risiko meningkat daripada AS$5 hingga AS$10 sebelum ini kepada AS$15 hingga AS$20 ketika ini, dan berpotensi meningkat lebih tinggi,” katanya. - DagangNews.com