Dialog berpotensi raih kontrak terminal baharu, imbangi kebimbangan kemajuan projek PEC - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dialog berpotensi raih kontrak terminal baharu, imbangi kebimbangan kemajuan projek PEC - Maybank IB

Oleh Hamden Ramli

KUALA LUMPUR 12 Nov – Dialog Group Bhd berpotensi memperoleh kontrak baharu terminal tangki dalam tempoh 12 bulan akan datang, sekali gus dapat mengimbangi kebimbangan pasaran susulan laporan berita mengenai kemunduran projek Pengerang Energy Complex (PEC) baru-baru ini, menurut Maybank Investent Bank (Maybank IB).

 

Bank pelaburan itu berkata, mereka menyukai saham Dialog kerana portfolio pendapatan berulangnya serta aliran tunai yang stabil daripada aset terminal tangki midstream. 

 

"Oleh itu, kami mengekalkan saranan BELI, unjuran pendapatan, serta harga sasaran (TP) berasaskan penilaian SOP sebanyak RM2.32. Dialog kekal sebagai pilihan utama kami dalam sektor ini," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

 

 

 

 

 

 

Untuk rekod, Pengerang Energy Complex (PEC) merupakan projek bernilai AS$5.3 bilion, yang dijangka menghasilkan 2.5 juta tan aromatik, 3.9 juta tan petroleum, dan 50,000 tan hidrogen setiap tahun.

 

Bagaimanapun, laporan The Edge Weekly (edisi 8–9 November 2025) mendedahkan ChemOne, selaku pemilik dan pengendali PEC, berdepan kesukaran mencapai penutupan kewangan, dipercayai berpunca daripada peningkatan kos oleh rakan kontraktor EPC, Maire SpA.

 

Difahamkan, ChemOne kini sedang menilai beberapa kontraktor EPC baharu, termasuk daripada China, bagi meneruskan pelaksanaan projek tersebut.

 

Maybank IB berkata, walaupun terdapat kelewatan di PEC, pihaknya tidak melihat hal itu akan menjejaskan prospek pertumbuhan jangka sederhana Dialog.

 

Berdasarkan sumber industri memaklumkan Dialog kini berada di peringkat akhir rundingan dengan beberapa syarikat minyak dan multinasional bagi kontrak terminal tangki jangka panjang yang baharu.

 

“Berdasarkan semakan kami, terdapat potensi sekurang-kurangnya satu hingga dua projek terminal tangki baharu untuk Dialog dalam tempoh 12 bulan akan datang,” jelas laporan itu.

 

Tambahn Maybank IB, ini dijangka menjadi pemangkin tambahan kepada pertumbuhan pendapatan kumpulan, di samping mengukuhkan kedudukan Dialog sebagai penyedia perkhidmatan tenaga bersepadu di rantau ini.

 

Maybank IB berkata, dalam penilaian terkini, skor ESG Dialog meningkat kepada 55 daripada 100 bagi tahun kewangan 2024, berbanding 54 pada tahun sebelumnya.

 

 

 

 

 

 

Peningkatan ini didorong oleh beberapa faktor positif termasuk penambahbaikan dalam pelepasan Skop 1, peningkatan dalam penggunaan tenaga boleh diperbaharui, serta penurunan dalam penggunaan air keseluruhan dan intensitinya.

 

Bagaimanapun, peningkatan tersebut sedikit diimbangi oleh kenaikan jumlah sisa dihasilkan dan kadar kecederaan (LTIF) yang sedikit meningkat. - DagangNews.com