KUALA LUMPUR 21 Jan — Dayang Enterprise Holdings Berhad memeterai perjanjian jual beli dengan Shin Yang Shipyard Sdn Bhd bagi pembelian sebuah kapal penyelenggaraan yang bernilai RM117.7 juta.
Menurut kumpulan berpangkalan di Miri, Sarawak itu, perolehan tersebut dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, DESB Marine Services Sdn Bhd (DMSSB) dan dimeterai pada 20 Januari 2026.
Tambahnya, kapal marin terbaharu jenis penyelenggaraan dan kerja sepanjang 91 meter tersebut dengan nombor limbungan YD479, dijadualkan untuk dapat diserahkan antara 2 hingga 10 Januari 2028.
"Pengambilalihan ini adalah sebahagian strategi kumpulan memperkukuh armada marin dan meningkatkan keupayaan operasi dalam menyokong kerja-kerja luar pantai," maklum Dayang kepada Bursa Malaysia.
Ini jelasnya, termasuk penyelenggaraan, penyambungan, dan pentauliahan di kawasan pesisir, manakala kos pembelian kapal itu akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman atau pinjaman daripada bank.
Kumpulan tersebut ketika ini jelasnya, dalam proses rundingan dengan pihak bank bagi baki pembayaran dibayar selepas menggunakan dana dalaman syarikat untuk pembayaran deposit sebanyak 20%.
Transaksi ini jelas Dayang, tidak mempunyai kesan material segera terhadap pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 2026, namun dijangka menyumbang secara positif kepada hasil masa depan kumpulan.
"Dayang dan DMSSB tidak akan menanggung sebarang bentuk liabiliti atau jaminan tambahan berikutan usaha pengambilalihan ini sebaik sahaja kapal tersebut mula dapat beroperasi," katanya lagi.
Lembaga Pengarah kumpulan itu berpendapat bahawa pembelian ini adalah demi kepentingan terbaik syarikat setelah mengambil kira spesifikasi kapal, kos pembinaan, dan keadaan pasaran semasa.
Nisbah peratusan tertinggi bagi pengambilalihan ini adalah kira-kira 6.28%, yang berdasarkan pertimbangan pembelian berbanding ekuiti pemegang saham kumpulan berkenaan setakat 31 Disember 2024.
Transaksi ini jelas Dayang, sudah diluluskan oleh Lembaga Pengarah dan tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia yang lain. - DagangNews.com








