KUALA LUMPUR 9 Jun – Dayang Enterprise Holdings Berhad memperkukuhkan pengembangan serantau apabila menjalin usaha sama (JV) dengan syarikat Brunei terkenal, Petrokon Utama Sdn Bhd (PUSB).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan tersebut berkata, langkah ini membolehkannya memburu peluang projek penyelenggaraan, dan pembinaan sektor minyak dan gas (O&G) di negara itu.
Tambahnya, usaha berkenaan dilaksanakan anak syarikat milik penuhnya, Dayang Enterprise Sdn Bhd (DESB), menerusi pemeteraian perjanjian JV dan pemegang saham dengan PUSB pada 27 Mei 2026.
"Kedua-dua pihak akan menubuhkan sebuah syarikat JV di Brunei dicadangkan dikenali sebagai Petrokon Dayang Corporation Sdn Bhd dengan pegangan ekuiti nisbah sama rata 50:50," jelas Dayang Enterprise.
Syarikat itu akan mempunyai modal berbayar permulaan sebanyak B$100,000 (RM316,090) dan ditubuhkan khusus bagi menyertai tender projek penyelenggaraan, dan pembinaan yang kini kompetitif di Brunei.
Menurutnya, ia membolehkan kumpulan mengukuhkan kehadiran strategik di Brunei selain meningkatkan keupayaan menyertai projek berkaitan O&G menerusi kerjasama dengan rakan tempatan berpengalaman.
Kerjasama ini juga tambah Dayang Enterprise, dijangka melengkapi kepakaran sedia ada kumpulan itu di samping menyokong strategi pertumbuhan secara jangka panjang dalam industri petroleum serantau.
DESB Bakal Pegang Jawatan Pengerusi
"DESB merupakan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan pesisir, fabrikasi kecil, 'hook-up' dan pentauliahan serta pelbagai lagi perkhidmatan sokongan kepada ramai pemain industri O&G," katanya.
Sementara itu, PUSB pula ujarnya, ialah syarikat di Brunei yang aktif terlibat dalam perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, pembinaan dan sokongan berkaitan industri O&G negara tersebut.
Di bawah struktur tadbir urus yang dipersetujui, DESB berhak melantik sehingga dua pengarah dalam syarikat JV berkenaan, termasuk seorang yang akan memegang jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah.
Bagaimanapun, perjanjian berkenaan jelas Dayang Enterprise, hanya akan berkuat kuasa selepas syarikat JV tersebut diperbadankan secara rasmi dan projek yang dibida sudah berjaya diperoleh.
"Justeru, perjanjian ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap modal saham, pendapatan sesaham, aset bersih atau tahap hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026," katanya.
Lembaga pengarah berpandangan JV itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat dan berpotensi membuka peluang pertumbuhan baharu dalam pasaran minyak dan gas Brunei. - DagangNews.com








