KUALA LUMPUR 18 Nov - Gelombang dasar fiskal baharu kerajaan yang meningkatkan peruntukan belanjawan bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2026 mampu memberi rangsangan positif kepada 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad (99 Speed Mart), memandangkan kedudukan pasarannya yang kukuh serta kekuatan jenama yang telah lama bertapak, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, setakat ini, lebih 2,000 cawangan 99 Speed Mart telah diaktifkan untuk melaksanakan program SARA, dan kumpulan itu menyasarkan untuk menambah bilangan cawangan yang menyertai inisiatif tersebut bagi memperluas jangkauan kepada golongan B40 dan M40 rendah.
Selain itu, 99 Speed Mart berada pada kedudukan strategik untuk meraih manfaat daripada peningkatan pendapatan boleh guna dalam kalangan isi rumah berpendapatan rendah serta trend perbelanjaan menurun (downtrading) ekoran tekanan inflasi yang masih tinggi.
"Dengan rangkaian pasar raya mini yang meluas di seluruh negara, pilihan pengguna untuk membeli barangan runcit di kedai berskala kecil terus menyokong prestasi kumpulan itu," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
99 Speed Mart semalam mengumumkan keputusan kewangan bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 dengan menyaksikan syarikat itu merekod hasil RM3.04 bilion, meningkat 19.1% tahun ke tahun (Y-o-Y).
Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 45.8% kepada RM211.6 juta, manakala keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat 49.9% kepada RM160.7 juta.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan (9MFYE2025), 99 Speed Mart merekodkan hasil RM8.4 bilion, meningkat 13.0% Y-o-Y.
PBT dan PAT masing-masing meningkat kepada RM604.8 juta (+22.7%) dan RM457.0 juta (+24.9%).
Pertumbuhan jangka panjang kekal mapan
Menurut RHB, dalam jangka masa lebih panjang, keuntungan 99 Speed Mart dijangka terus disokong oleh strategi pengembangan pasaran yang lebih luas.
Antara inisiatif utama termasuk mempelbagaikan sumber pembekalan bagi menambah baik penawaran produk dan membangunkan platform jualan pukal, sekali gus membuka sumber pendapatan baharu.
Selain itu, inisiatif melebarkan operasi ke luar negara, selaras dengan hala tuju pengembangan serantau juga mampu memberi jaminan pulangan mapan kepada kumpulan.
Strategi-strategi ini dijangka memperkukuh kedudukan pasaran 99 Speed Mart, di samping memastikan kumpulan itu kekal sebagai peneraju runcit pasar raya mini di Malaysia dan di rantau ini.
Sehubungan itu RHB mengekalkan saranan BUY ke atas 99 Speed Mart Retail Holdings dengan harga sasaran (TP) RM3.56, menawarkan potensi kenaikan sekitar 10%, disertai anggaran hasil dividen sekitar 2% bagi FY26F.
Menurut RHB, prestasi kewangan bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 (9M25) dilaporkan berada dalam jangkaan, disokong pertumbuhan jualan yang kukuh serta kawalan kos yang berkesan — dua faktor yang terus memperkukuh kedudukan syarikat sebagai peneraju runcit mini market negara.
Penglibatan rangkaian kedai 99 Speed Mart dalam program SARA dijangka memacu trafik pelanggan, terutamanya di kawasan padat B40 serta bandar pinggiran yang semakin bergantung kepada rangkaian pasar raya mini berharga kompetitif.
RHB turut menjangkakan pertumbuhan keuntungan 15% secara purata bagi tempoh tiga tahun, dipacu oleh strategi pengembangan agresif untuk memasuki kawasan yang masih kurang diliputi (underserved regions).
Pendekatan ini bukan sahaja memperluas cap pasarannya, malah meningkatkan daya saing berbanding peruncit runcit kecil lain.
Sebagai salah satu pengedar terbesar produk Nestle, kumpulan itu juga dijangka menikmati lonjakan volum apabila sentimen pengguna terhadap jenama Nestle terus kembali normal selepas tempoh kelembapan sebelum ini.
Produk keperluan harian berjenama kekal antara pemacu utama jualan rantaian itu. - DagangNews.com








