KUALA LUMPUR 21 Mei - Langkah kerajaan Indonesia untuk memperkenalkan rangka kerja baharu kawalan eksport bagi komoditi utama termasuk minyak sawit, arang batu dan ferroaloi dijangka memberi kesan besar kepada aliran perdagangan serantau, dengan Malaysia dilihat sebagai antara penerima manfaat utama daripada perubahan dasar tersebut.
Di bawah pelan yang diumumkan, semua eksport komoditi strategik akan disalurkan melalui sebuah entiti pusat di bawah dana kekayaan negara Indonesia, iaitu Danantara Indonesia melalui anak syarikatnya PT Danantara Sumber Daya, yang akan berperanan sebagai perantara perdagangan tunggal selepas tempoh peralihan sebelum pelaksanaan penuh pada Januari 2027.
Kerangka baharu itu turut memperkenalkan kawalan lebih ketat terhadap harga, pemantauan transaksi serta keperluan eksport hasil sumber semula jadi untuk mengekalkan 100 peratus hasil pendapatan di bank domestik bermula 1 Jun.
Menurut PublicInvest, perubahan struktur ini berpotensi mengganggu kebebasan pasaran dan aliran dagangan komoditi global kerana ia memusatkan kuasa penentuan harga kepada satu entiti berkaitan kerajaan, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan dalam kalangan pembeli antarabangsa.
"Dalam konteks ini, sektor minyak sawit Indonesia dijangka berdepan risiko lebih tinggi khususnya pemain yang mempunyai pendedahan hiliran, apabila proses dagangan menjadi lebih kompleks dan dikawal ketat di peringkat pusat," kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Malaysia dijangka jadi destinasi alternatif
Dalam masa yang sama, penganalisis berpendapat ketidaktentuan ini boleh mengalihkan sebahagian permintaan pembeli global yang mengutamakan kestabilan dasar dan kelancaran rantaian bekalan kepada Malaysia.
Keadaan tersebut berpotensi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit yang lebih stabil di rantau ini, selain menyokong daya saing eksport negara dalam pasaran antarabangsa.
PublicInvest turut menjangkakan perbezaan harga minyak sawit mentah (CPO) antara Indonesia dan Malaysia akan melebar daripada paras semasa sekitar RM750 setan metrik, berikutan perubahan struktur pasaran dan premium risiko yang lebih tinggi terhadap eksport Indonesia.
Firma penyelidikan itu mengekalkan pandangan “Overweight” ke atas sektor perladangan, dengan unjuran harga purata CPO bagi tahun penuh pada RM4,400 setan metrik, disokong oleh jangkaan gangguan aliran perdagangan dan permintaan yang lebih kukuh terhadap bekalan alternatif yang lebih stabil. - DagangNews.com








