Darren Chan Chon Hoe dilantik sebagai Pengarah Urusan Bosch Malaysia, rakyat tempatan pertama memegang jawatan teraju | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Darren Chan Chon Hoe dilantik sebagai Pengarah Urusan Bosch Malaysia, rakyat tempatan pertama memegang jawatan teraju

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 24 Julai – Bosch mengumumkan pelantikan Darren Chan Chon Hoe sebagai Pengarah Urusan Bosch Malaysia, menjadikannya rakyat Malaysia pertama yang memegang jawatan tersebut, berkuat kuasa 1 Julai 2025.

 

Pelantikan baharu ini adalah sebagai tambahan kepada tanggungjawab sedia ada Chan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Bosch Rexroth Malaysia, serta Pemimpin Teknologi Serantau Bosch Rexroth ASEAN bagi bidang hidraulik industri, menurut kenyataan Bosch hari ini.

 

Chan menggantikan Vijay Ratnaparkhe, Presiden Serantau Bosch di Asia Tenggara, yang telah menjalankan tugas sebagai Pengarah Urusan interim selama 11 bulan lepas.

 

"Dengan pelantikan ini, Ratnaparkhe kini akan menumpukan sepenuhnya kepada tanggungjawab serantaunya," menurut kenyataan itu lagi.

 

Chan membawa pengalaman lebih dua dekad dalam bidang automasi industri, dan telah memegang pelbagai jawatan kepimpinan di seluruh Asia Tenggara dalam sektor seperti elektronik, semikonduktor, automotif dan industri am.

 

Beliau menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu penghormatan dan peluang untuk menyumbang secara bermakna kepada pembangunan negara.

 

"Dengan menggabungkan lebih satu abad kehadiran Bosch di Malaysia serta lebih 3,700 warga kerja di seluruh negara dengan pengalaman saya, saya berhasrat untuk mengukuhkan kerjasama awam-swasta dan mempertingkat pembangunan bakat berterusan – kedua-duanya merupakan elemen penting dalam usaha meningkatkan pendapatan negara kasar per kapita," katanya.

 

Chan berkata jejak global Bosch yang merangkumi sekitar 490 anak syarikat di lebih 60 negara membolehkan syarikat tersebut menggabungkan pengalaman global dengan pemahaman tempatan. DagangNews.com