KUALA LUMPUR 9 Okt – Dana asing bertukar menjadi penjual bersih dalam pasaran kewangan Malaysia pada September, dengan aliran keluar portfolio mencecah RM6.8 billion, susulan penyusutan pegangan dalam sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) dan sukuk terbitan kerajaan (GII), menurut Maybank IB.
Bank pelaburan itu berkata, aliran keluar ini memadam sebahagian besar aliran masuk bersih sejak awal tahun, menjadikan jumlah bersih setakat tahun ini (YTD) hanya RM12 bilion, merosot lebih separuh berbanding kemuncaknya pada RM27 bilion.
"Faktor utama yang mendorong pelabur asing mengurangkan pegangan termasuk ketidaktentuan dasar monetari global, pelonggaran oleh Rizab Persekutuan (Fed) yang kurang meyakinkan, serta perubahan dalam komposisi indeks pasaran sedang pesat membangun oleh GBI-EM.
"Selain itu, aliran keluar turut dipacu oleh kematangan besar MGS bernilai RM26.8 bilion pada 15 September, yang menyebabkan aliran keluar melebihi RM4 bilion dalam satu hari sahaja. Aktiviti jualan asing kekal aktif sepanjang dua minggu pertama bulan tersebut," ujar bank pelaburan itu dalam laporan aliran dana.
Katanya, meskipun terdapat pembelian semula oleh pelabur asing selepas pengumuman pemotongan kadar faedah oleh Fed, jualan bersih kembali meningkat pada minggu terakhir September, menjadikan jumlah keseluruhan aliran keluar bersih RM6.8 bilion bagi bulan tersebut.
Daripada jumlah tersebut, RM3.7 bilion merupakan pengurangan dalam pegangan MGS, diikuti oleh GII sebanyak RM2.7 bilion. Sekuriti korporat (PDS) pula mencatatkan aliran keluar lebih kecil iaitu RM0.5 bilion, manakala pegangan dalam bil diskaun dan instrumen jangka pendek kekal hampir tidak berubah.
Menariknya menurut Maybank IB, walaupun berlaku aliran keluar, pegangan asing dalam MGS meningkat sedikit kepada 33.7% berbanding 33.4% pada Ogos — berikutan pengurangan jumlah MGS yang beredar selepas kematangan besar tersebut. Namun, pegangan asing dalam GII menurun kepada 7.7% daripada 8.2%.
Ekuiti Malaysia Kekal Stabil
Maybank IB berkata, sektor ekuiti tempatan pula menyaksikan pembelian bersih asing marginal sebanyak RM100 juta, tetapi jumlah itu tidak mencukupi untuk mengimbangi aliran keluar besar dalam pasaran bon.
"Dalam tempoh 12 bulan lepas, jumlah keseluruhan aliran keluar dana asing dari pasaran Malaysia kekal tinggi pada paras RM24.2 bilion mencerminkan cabaran yang masih dihadapi oleh pasaran dalam menarik semula minat pelabur global," katanya.
Rizab Antarabangsa Naik Enam Bulan Berturut-Turut
Bagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) mencatatkan peningkatan rizab antarabangsa sebanyak USD0.9 bilion kepada USD123.6 bilion pada akhir September (Ogos: USD122.7 bilion), menjadikan ini bulan keenam berturut-turut peningkatan rizab.
Peningkatan ini didorong oleh lonjakan harga emas serta keuntungan penilaian semula pertukaran asing (FX) berikutan kelemahan mata wang bukan USD terhadap dolar Amerika.
Sementara itu, posisi bersih pendek hadapan FX BNM menyusut sedikit kepada USD21.0 bilion pada akhir Ogos, berbanding USD21.2 bilion pada Julai dan USD22.6 bilion pada Jun.
Unjuran Suku Keempat
Melangkah ke suku keempat 2025, Maybank IB menjangkakan pemulihan aliran masuk hanya akan berlaku jika sentimen pelabur bertambah baik khususnya terhadap aset dalam Ringgit.
"Sekiranya aliran masuk kekal perlahan, BNM mungkin tidak lagi mengurangkan posisi pendek FX-nya, malah berdepan tekanan untuk meningkatkannya jika kecairan Ringgit mengetat," katanya. - DagangNews.com








