KUALA LUMPUR 17 April – Damansara Specialist Hospital 2 (DSH2), sebahagian daripada rangkaian hospital KPJ Healthcare Berhad, sekali lagi mencatat pencapaian penting bagi Sistem Kesihatan KPJ dengan memperkenalkan Supine High-Intensity Focused Ultrasound (HIFU), sekali gus menetapkan penanda aras baharu sebagai hospital pertama di Asia Tenggara yang menawarkan rawatan tidak invasif ini untuk fibroid rahim.
Prosedur HIFU konvensional lazimnya dilakukan dengan pesakit berada dalam posisi meniarap (prone) untuk tempoh yang panjang. Pendekatan supine membolehkan rawatan dijalankan dalam posisi baring menghadap ke atas, yang lebih semula jadi serta berpotensi mengurangkan ketidakselesaan sepanjang prosedur yang mengambil masa lebih lama.
HIFU merupakan rawatan tidak invasif yang menggunakan tenaga ultrasound terfokus untuk menyasarkan tisu fibroid tanpa perlu membuat hirisan atau membuang rahim. Ia lazimnya sesuai untuk pesakit terpilih, khususnya mereka yang mempunyai fibroid bersaiz sederhana dan berada pada lokasi yang sesuai.
Fibroid rahim merupakan keadaan biasa yang boleh menjejaskan kualiti hidup wanita. Pendekatan rawatan tradisional mungkin melibatkan pembedahan termasuk myomektomi atau histerektomi, yang boleh memerlukan tempoh pemulihan lebih panjang. HIFU menawarkan pilihan bukan pembedahan untuk kes terpilih sambil mengekalkan rahim.
Walaupun HIFU menyediakan pilihan rawatan tidak invasif, pemilihan pesakit yang teliti masih sangat penting. Ia lazimnya paling sesuai untuk pesakit dengan fibroid bersaiz sederhana, bilangannya terhad, dan terletak jauh daripada struktur sensitif di sekitarnya.
Bagi kes yang lebih kompleks, prosedur alternatif memelihara rahim seperti myomektomi laparoskopi atau histeroskopi boleh dipertimbangkan.

Di DSH2, prosedur ini dijalankan oleh Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Liew Yen Eit dan Dr Haliza Kamarudin, sebagai sebahagian daripada perkhidmatan kesihatan wanita hospital tersebut.
Komitmen Inovasi KPJ
Mengulas perkembangan ini, Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata, pengenalan Supine HIFU di DSH2 mencerminkan bagaimana kami memperkukuh perkhidmatan kesihatan wanita melalui inovasi bersasar yang meningkatkan cara penjagaan diberikan.
"Sebagai pencapaian penting bagi Sistem Kesihatan KPJ, ia mengukuhkan komitmen kami untuk memajukan penyampaian rawatan melalui pilihan yang kurang invasif, yang memelihara hasil klinikal dan meningkatkan pengalaman pesakit.
"Perkembangan ini menunjukkan bagaimana kami mengaplikasikan teknologi secara praktikal dan bertanggungjawab, berpandukan tujuan kami iaitu Care for Life,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Liew Yen Eit, Perunding Obstetrik dan Ginekologi di DSH2 berkata, “Pendekatan supine mengubah pengalaman pesakit semasa prosedur. Ia membolehkan rawatan dijalankan dalam posisi yang lebih selesa sambil mengekalkan tahap ketepatan yang diperlukan untuk rawatan fibroid yang berkesan.”
Dr Haliza Kamarudin, Perunding Obstetrik dan Ginekologi di DSH2 menambah, “Ini menyediakan pilihan tambahan untuk wanita yang sedang mempertimbangkan alternatif kepada pembedahan, khususnya mereka yang ingin memelihara rahim. Penilaian teliti masih penting bagi menentukan kesesuaian rawatan ini.”
Pengenalan Supine HIFU di DSH2 mencerminkan fokus berterusan hospital tersebut dalam memajukan perkhidmatan kesihatan wanita melalui penggunaan teknologi dan penjagaan pakar yang bersesuaian, selaras dengan hala tuju lebih luas Sistem Kesihatan KPJ.
Hala tuju ini turut dizahirkan melalui pengiktirafan terbaharu sebagai Specialty Hospital of the Year (Women’s) – Malaysia di Healthcare Asia Awards 2026.
Untuk maklumat lanjut, layari https://kpjhealth.com.my/damansara2/ atau hubungi +603-7717 3000. - DagangNews.com








