Dagangan saham Solarvest digantung sementara 22 Sept, bakal umum kerjasama strategik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan saham Solarvest digantung sementara 22 Sept, bakal umum kerjasama strategik

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Sept - Dagangan sekuriti Solarvest Holdings Bhd digantung mulai jam 9 pagi pada 22 Sept 2025, sementara menunggu pengumuman penting.

 

Dagangan waran berstruktur berkaitan Solarvest turut digantung pada masa sama.

 

Saham syarikat tenaga bersih itu ditutup naik satu sen kepada RM2.72, sekali gus meneruskan kenaikan setahun ke tarikh (YTD) sebanyak 60%.

 

Dalam jemputan media yang dikeluarkan bagi pihak Solarvest, syarikat itu memaklumkan akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan satu kerjasama bersejarah dengan sebuah firma global yang dijangka memacu masa depan tenaga boleh diperbaharui Malaysia dan Solarvest.

 

Kumpulan itu berkata kerjasama tersebut merupakan langkah penting dalam menyampaikan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui berimpak tinggi untuk mempercepatkan perjalanan nyahkarbonisasi Malaysia selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

 

Selain itu, kerjasama itu juga akan membuka laluan ke arah pengembangan serantau bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap tenaga lestari. - DagangNews.com