Dagangan saham Boustead Heavy Industries digantung sementara menunggu pengumuman rasmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dagangan saham Boustead Heavy Industries digantung sementara menunggu pengumuman rasmi

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Feb - Dagangan saham Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) digantung sementara di Pasaran Utama Bursa Malaysia berkuat kuasa 9.31 pagi hari ini hingga 5 petang, Selasa, selepas mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, BHIC berkata penggantungan itu dibuat bagi memberi ruang kepada syarikat mengumumkan satu pengumuman material dalam masa terdekat.

 

Menurut kenyataan tersebut, permohonan penggantungan dagangan dibuat selaras dengan Perenggan 3.1(b) Nota Amalan 2 di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities.

 

Bagaimanapun, syarikat tidak mendedahkan sebarang butiran lanjut berhubung kandungan pengumuman material yang akan diumumkan.

 

Sebelum penggantungan berkuat kuasa, saham BHIC terakhir diniagakan pada 31.5 sen, meningkat setengah sen atau 1.61%, dengan sebanyak 266,500 saham bertukar tangan. - DagangNews.com