Cropmate kembali jalankan urusan perbankan seperti biasa selepas akaun tidak lagi dibekukan SPRM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cropmate kembali jalankan urusan perbankan seperti biasa selepas akaun tidak lagi dibekukan SPRM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Julai – Cropmate Berhad mengesahkan semua akaun bank syarikat dan anak syarikatnya yang sebelum ini dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu siasatan telah dilepaskan sepenuhnya.

 

Langkah itu membolehkan kumpulan kembali menjalankan urusan perbankan seperti biasa dan meneruskan tumpuan terhadap perkhidmatan kepada pelanggan serta pelaksanaan strategi pertumbuhan perniagaannya.

 

Menurut Cropmate, sepanjang tempoh akaun berkenaan dibekukan, operasi syarikat terus berjalan tanpa gangguan ketara berikutan penggunaan saluran perbankan alternatif serta pengurusan kewangan yang berhemat.

 

Pada masa sama, syarikat menjelaskan tiada mana-mana pengarah, pegawai, kakitangan atau wakil kumpulan ditahan atau didakwa atas sebarang kesalahan yang timbul daripada siasatan tersebut.

 

Komitmen Terhadap Tadbir Urus Korporat

Cropmate turut mengesahkan bahawa syarikat serta mana-mana anak syarikatnya tidak berdepan sebarang tindakan terhadap aset syarikat berkaitan siasatan yang dijalankan oleh SPRM.

 

Pengarah Urusannya, Lee Chin Yok berkata, pelepasan semua akaun bank yang terlibat memberikan kepastian terhadap urusan perbankan syarikat selain membuktikan ketahanan operasi perniagaan kumpulan.

 

"Kami gembira apabila semua akaun bank yang terjejas telah dilepaskan yang memberikan kepastian kepada operasi perbankan kami dan mengukuhkan lagi daya tahan perniagaan syarikat.

 

"Sepanjang tempoh tersebut, operasi kami diteruskan tanpa gangguan material hasil daripada penggunaan kaedah perbankan alternatif, pengurusan kewangan yang berhemat serta komitmen berterusan semua kakitangan," katanya dalam satu kenyataan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: RM12.21 juta wang dibeku SPRM, Cropmate lantik peguam Hisyam Teh kemuka representasi

 

Lee berkata, Cropmate sentiasa komited menjalankan perniagaan berteraskan integriti, ketelusan dan standard tadbir urus korporat yang tinggi, selain akan terus memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekiranya diperlukan.

 

Fokus Kepada Pelan Pertumbuhan Jangka Panjang

Beliau berkata, sepanjang tempoh siasatan berlangsung, syarikat terus memenuhi komitmennya kepada pelanggan, pembekal, institusi kewangan dan rakan perniagaan, selain memastikan operasi harian serta bekalan kepada pelanggan berjalan seperti biasa.

 

Menurutnya, Cropmate kini memberi tumpuan untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri baja negara menerusi kecemerlangan operasi, rantaian bekalan yang lebih berdaya tahan, inovasi produk serta pelaksanaan beberapa inisiatif pengembangan strategik.

 

Antara perancangan syarikat termasuk memperluaskan operasi ke Malaysia Timur serta membangunkan rumusan pelepasan baja terkawal bagi memenuhi keperluan sektor pertanian yang semakin berkembang.

 

Lee turut merakamkan penghargaan kepada pemegang saham, pelanggan, rakan perniagaan, institusi kewangan, kakitangan serta semua pihak berkepentingan atas keyakinan, kesabaran dan sokongan tidak berbelah bahagi yang diberikan sepanjang tempoh siasatan. 

 

Beliau berkata, dengan selesainya isu pembekuan akaun bank itu, Cropmate akan terus menumpukan usaha melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat dan mencipta nilai mampan untuk jangka panjang kepada semua pemegang kepentingannya.  - DagangNews.com