KUALA LUMPUR 20 Julai – CPE Technology Berhad memperkukuh rancangan pengembangan perniagaan dengan melabur RM34.52 juta untuk memperoleh 118 mesin kawalan numerik berkomputer (CNC) baharu.
Langkah itu bagi memenuhi lonjakan tempahan industri semikonduktor yang pesat dalam tempoh enam bulan lalu, sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kecekapan operasi kumpulan tersebut.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata pemerolehan dilaksanakan menerusi anak syarikatnya, Champion Precision Technology Sdn Bhd (CPT) dengan nilai keseluruhan RM34,518,470.
"Mesin-mesin tersebut diperoleh daripada pembekal tempatan, Yamazen (Malaysia) Sdn Bhd dan Numac Machinery Sdn Bhd, serta sebuah syarikat dari Jepun, DMG Mori Co Ltd," jelas CPE Technology.
Ujarnya, pemerolehan itu termasuk lapan unit mesin pelarik automatik Citizen Cincom, 45 unit mesin pelarik CNC Okuma, dua unit mesin pelarik CNC DMG, serta 60 unit mesin pengilangan CNC Fanuc.
Menurutnya, pembelian dibiayai menerusi gabungan pembayaran tunai dan pinjaman, manakala sebahagian dana hasil tawaran awam permulaan (IPO) turut digunakan bagi menyelesaikan pembelian mesin itu.

Tambah CPE Technology, pelaburan itu bertujuan memenuhi permintaan semasa dan masa depan susulan pengembangan perniagaan kumpulan, di samping meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi.
"Segmen semikonduktor menyumbang dua pertiga daripada hasil kumpulan dan dijangka terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, disokong pelaburan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI)," katanya.
Pertanyaan pelanggan dan tempahan baharu semakin positif, dengan buku pesanan hampir berganda dalam tempoh enam bulan lalu, manakala beberapa projek dijangka meningkatkan pengeluaran secara berfasa.
Walaupun prospek kekal positif, CPE Technology mengakui perniagaannya masih lagi berdepan cabaran ketidaktentuan perdagangan global, namun akan terus memberi tumpuan kepada aspek pengurusan kos.
Pemerolehan aset itu dijangka tidak memberi kesan material terhadap modal saham, aset bersih atau tahap penggearan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 selain tiada liabiliti baharu ditanggung.
"Ia dijangka selesai menjelang suku kedua tahun kewangan 2027 dan lembaga pengarah berpandangan langkah ini demi kepentingan terbaik kumpulan memperkukuh pertumbuhan jangka panjang," katanya. - DagangNews.com







