Country Heights adakan EGM dapatkan mandat selesaikan isu likuidasi Mines Waterfront Business Park | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Country Heights adakan EGM dapatkan mandat selesaikan isu likuidasi Mines Waterfront Business Park

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 Jan - Country Heights Holdings Berhad (CHHB) akan mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi mendapatkan mandat berhubung isu Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd (MWBP).


Ia dijadualkan pada 13 Februari 2026 di Mines Resort & Golf Club, Seri Kembangan, Selangor, dengan tarikh kelayakan pemegang saham untuk pengesahan kehadiran ditetapkan pada 5 Februari 2026.


Dalam EGM itu, mereka akan diminta untuk mempertimbangkan tiga resolusi biasa, antaranya melibatkan kelulusan cadangan bagi urus niaga dengan pihak berkaitan secara berulang yang bersifat komersial.


"Resolusi kedua pula bertujuan bagi memberi kuasa terhadap Lembaga Pengarah meneliti dan meluluskan bukti tuntutan hutang (POD)," kata Country Heights dalam satu maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Tambah kumpulan itu, dokumentasi tuntutan tersebut disediakan oleh firma Baker Tilly Insolvency PLT, selaku pelikuidasi yang dilantik rasmi dalam proses pembubaran anak syarikatnya, MWBP.


Semalam, Grand Wellness Hub Sdn Bhd (GWHSB) membuat laporan polis berikutan kemelut kes likuidasi subsidiari itu yang menyentuh penglibatan sebuah syarikat.

 

Syarikat berkenaan jelasnya, membuat tuntutan sebanyak RM1.08 juta, walhal sebelum ini ia hanya dikenal pasti sebagai penghutang dengan tunggakan sewa yang sudah mencecah kira-kira RM16 juta.


Dalam pada itu, CHHB berkata, EGM tersebut turut mengemukakan resolusi ketiga berkaitan permohonan mandat kepada Lembaga Pengarah terhadap Baker Tilly, di bawah Seksyen 402 Akta Syarikat 2016.


"Persetujuan daripada majoriti pemegang saham diperlukan untuk kumpulan tersebut dapat memulakan, meneruskan atau mempertahankan sebarang tindakan undang-undang serta kawal selia," tambahnya. 


Menurut CHHB, Lembaga Pengarah berpendapat tiga usul ini adalah demi kepentingan terbaik serta melindungi nilai pemegang saham dan memastikan ketelusan dalam proses likuidasi anak syarikatnya.


Ini termasuk tindakan undang-undang terhadap Baker Tilly atas dakwaan kegagalan menjalankan tugas serta menuntut ganti rugi atas sebarang kerugian yang dialami syarikat berkenaan. - DagangNews.com