Classita kini dikenali sebagai NexG Bina, perluas ke sektor hartanah dan infrastruktur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Classita kini dikenali sebagai NexG Bina, perluas ke sektor hartanah dan infrastruktur

KUALA LUMPUR 9 Sept - Para pemegang saham Classita Holdings Bhd meluluskan pertukaran nama syarikat kepada NexG Bina Bhd pada mesyuarat agung luar biasa (EGM), sekali gus mencerminkan langkah strategik kumpulan itu untuk mengembangkan operasi ke dalam sektor pembinaan hartanah dan infrastruktur.

 

Pengerusi bebas bukan eksekutif, Tan Sri Razarudin Husain berkata, NexG Bina bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan penjajaran semula strategik kumpulan.

 

“‘NexG’ melambangkan inovasi dan transformasi, manakala ‘Bina’ mengakar kumpulan ini dalam sektor pembinaan, infrastruktur dan pembangunan hartanah yang kami lihat mempunyai potensi jangka panjang,” katanya pada sidang media selepas EGM di sini hari ini.

 

“Kami realistik – transformasi ini masih di peringkat awal. Namun pada tahap ini, kami telah menunjukkan keupayaan melaksana. Projek di Tapah, Perak dan Bentong, Pahang serta usaha rasionalisasi tanah di Kinta, Perak menunjukkan bagaimana kami boleh menyampaikan projek sambil mula mengitar semula modal dengan berkesan,” tambahnya.

 

Dalam masa yang sama katanya, inisiatif seperti pembangunan Ulu Kelang, projek bina-sewa-pindah (BLT), dan kerjasama dengan Lion Pacific Sdn Bhd mencerminkan hala tuju jangka panjang kumpulan.

 

Kontraktor G7

Sementara itu, beliau berkata NexG Bina komited untuk menangani isu kekurangan penyertaan kontraktor bumiputera di peringkat G7.

 

“Kami berhasrat untuk berkembang menjadi kontraktor nasional yang diterajui bumiputera, dengan model perniagaan yang merangkumi BLT merentasi sektor perumahan, institusi dan infrastruktur.

 

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan tekanan fiskal kepada kerajaan malah membina aliran pendapatan berulang bagi syarikat, memastikan kelestarian,” katanya.

 

Secara keseluruhan, pembangunan utama yang sedang berjalan dan dirancang di Tapah, Ulu Kelang dan Bentong mewakili anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM360 juta.

 

Di Tapah, kumpulan memiliki baki bank tanah kira-kira 12.7 ekar untuk dibangunkan dalam pelan induk seluas 94 ekar, yang terletak secara strategik berhampiran UiTM Tapah dan ibu pejabat polis daerah.

 

Di Ulu Kelang, yang terletak di sepanjang MRR2, kumpulan menyasarkan projek perumahan mampu milik dengan model bina-dan-sewa yang diutamakan untuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah potensi skim BLT, atau sebagai alternatif disewakan kepada orang awam.

 

“Pendekatan ini berpotensi menjana sehingga RM2.5 juta pendapatan sewa setahun, bersamaan pulangan kasar antara 5.4 hingga 6.6 peratus. Projek ini membawa anggaran GDV sebanyak RM47.5 juta, dengan potensi keuntungan pembangunan kasar (GDP) sebanyak RM9.6 juta jika dilaksanakan sebagai jualan,” menurutnya.

 

Di Bentong, pembinaan sedang dijalankan di pembangunan Kepayang Heights seluas 7.97 hektar, yang merangkumi dua fasa dengan jumlah GDV RM277.4 juta.

 

Di Kinta, kumpulan sedang dalam proses melupuskan satu lot perindustrian bernilai RM6.7 juta, dijangka merealisasikan keuntungan RM2.7 juta, dan merancang untuk menjual satu lagi lot.

 

Menerusi perkongsian dengan Lion Pacific, sebuah firma kejuruteraan dan penyampaian projek yang bereputasi, kumpulan sedang meneroka peluang dalam infrastruktur pengangkutan seperti MRT3 dan projek-projek keterhubungan nasional lain.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025, segmen pembuatan pakaian dalam merekodkan hasil sebanyak RM60.8 juta dan aset bersih sebanyak RM34.1 juta, dan baru-baru ini memperoleh pesanan pembuatan dan eksport baharu, menegaskan daya majunya dengan hasil dijangka berkembang sebanyak 10 peratus setahun.

 

Selaras dengan fokus jangka panjangnya, kumpulan telah memasuki perjanjian utama (heads of agreement) untuk pembelian pengurusan (MBO) sebanyak 49 peratus yang dimulakan oleh pasukan pengurusan sedia ada.

 

Setakat 30 Jun 2025, kumpulan merekodkan kedudukan tunai yang kukuh kira-kira RM73.6 juta. - BERNAMA