KUALA LUMPUR 13 Okt - Anak syarikat hartanah Citaglobal Berhad, Citaglobal Property Development Sdn Bhd (Citaglobal Property) secara rasmi melancarkan D’Marina Bayu, Fasa 2B kepada projek Residensi D’Marina — sebuah pembangunan perumahan berkonsepkan tenaga solar pertama di Pahang.
Sebagai projek perumahan “solar-ready” pertama di negeri itu dan antara yang terawal di Malaysia, inisiatif ini membuktikan komitmen Citaglobal terhadap penerapan penyelesaian tenaga baharu, teknologi bersih serta pembangunan komuniti rendah karbon.
Majlis pelancaran yang diadakan pada Sabtu lalu disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Kuantan.
Residensi D’Marina merupakan projek pembangunan bersama antara Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) selaku pemilik tanah dan Citaglobal Property sebagai pemaju.
Terletak strategik berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dan Jambatan Putra, D’Marina dirancang sebagai sebuah bandar mini holistik yang menggabungkan unsur alam semula jadi, kelestarian dan kemudahan bandar moden.
Pembangunan ini turut menampilkan pelbagai kemudahan berorientasikan komuniti seperti dewan serbaguna, tadika dan taska serta surau, bagi memupuk kejiranan yang harmoni, inklusif dan saling berhubung.


Sebagai sebahagian daripada usaha Citaglobal memupuk gaya hidup tenaga bersih, setiap kediaman dalam D’Marina Fasa 2B dilengkapi keupayaan “solar-ready” — membolehkan pemilik rumah memasang panel solar bumbung dengan mudah serta menikmati penjimatan bil elektrik sehingga 60 peratus.
Selain itu, pembangunan ini turut menampilkan infrastruktur Fiber-To-The-Home (FTTH) serta sistem “Smart Home-ready” bersepadu bagi memastikan penghuni menikmati kesalinghubungan digital yang lancar sejak hari pertama mereka menetap.
Fasa 1 D’Marina, yang merangkumi 523 unit rumah teres satu dan dua tingkat, telah siap pada Disember 2023. Sementara itu, Fasa 2A yang melibatkan 136 unit siap pada Mei 2025 dan telah terjual sepenuhnya.
Fasa terbaharu, D’Marina Bayu (Fasa 2B), terdiri daripada 120 unit rumah teres dua tingkat dan dijangka siap pada Disember 2026. Fasa-fasa seterusnya (2C hingga 2F) yang merangkumi 507 unit keseluruhan kini berada di peringkat perancangan dan akan dibangunkan secara berperingkat.
Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, berkata, menerusi D’Marina, pihaknya menzahirkan semula komitmen kepada rakyat Pahang — untuk menyediakan kediaman, memperkukuh komuniti dan membina masa depan yang lestari serta inklusif.
"Integrasi ciri ‘solar-ready’ dalam D’Marina menegaskan komitmen Citaglobal dalam mempercepatkan peralihan tenaga bersih di Malaysia, membolehkan penduduk menikmati penjimatan tenaga jangka panjang sambil menyokong aspirasi negara ke arah pembangunan komuniti boleh diperbaharui dan rendah karbon.”
Beliau menambah, sebagai antara pembangunan perumahan solar-ready terawal di Malaysia, D’Marina mencerminkan hasrat Citaglobal untuk menerajui peralihan tenaga melalui inovasi praktikal berteraskan rakyat.
“Kami amat menghargai kerjasama dengan PR1MA yang menjadi teras kepada perjalanan ini. Kerjasama strategik ini memastikan D’Marina kekal mampu milik kepada rakyat, di samping menetapkan penanda aras baharu bagi gaya hidup bandar moden yang efisien tenaga,” katanya.
Antara yang hadir ialah Datuk Dr. Yatimah binti Sarjiman, Ahli Perbadanan PR1MA Malaysia dan Pengerusi PR1MA Communications Sdn Bhd; Dato' Mohamad Nizar bin Dato' Sri Mohamad Najib, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang dan Azlan Shah Mohd Yusoh, Ketua Pegawai Eksekutif Citaglobal Property Development Sdn Bhd. - DagangNews.com








