KUALA LUMPUR 19 Jan - Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd (Chery) memulakan eksport kenderaan ke Brunei, pasaran Asean kedua syarikat itu, sekali gus menandakan satu mercu jaya penting dalam strategi meluaskan kehadiran serantau dan menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran serta eksport bagi rantau ini.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, pasaran eksport merupakan tonggak utama dalam strategi pertumbuhan jangka panjang syarikat di rantau Asean.
“Pasaran eksport ialah tunjang penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kami di rantau Asean.
"Kami amat teruja untuk meneruskan momentum pertumbuhan bagi meluaskan capaian jenama kami ke lebih banyak pasaran,” katanya ketika merasmikan majlis penghantaran kumpulan pertama kenderaan untuk dieksport.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Cheng Nam Weng berkata, selepas permulaan eksport ke Vietnam pada Februari 2025, kedudukan serta potensi pasaran Brunei menjadikannya langkah seterusnya yang wajar dan strategik.
“Penghantaran pertama kenderaan JAECOO J7 membolehkan kami menilai tahap penerimaan pasaran serta meletakkan asas kukuh bagi kehadiran jangka panjang Chery di Brunei,” katanya.
Selepas mengukuhkan kedudukan di pasaran Malaysia, Chery Corporate Malaysia kini melaksanakan strategi tersusun bagi memperluas jejak serantaunya.
Berikutan kejayaan eksport ke Vietnam, Indonesia, Thailand dan Brunei, syarikat sedang merangka pelan untuk mengembangkan operasi ke pasaran lain di seluruh rantau Asean.
Penghantaran pertama ke Brunei melibatkan 124 unit kenderaan, merangkumi 120 unit JAECOO J7 PHEV dan empat unit JAECOO J7 ICE (pacuan dua roda). Kesemua unit bagi pasaran eksport dihasilkan di kilang Shah Alam dan mempunyai spesifikasi yang sama seperti model yang ditawarkan di Malaysia.
Strategi eksport jangka pertengahan syarikat menekankan pertumbuhan lestari dengan memberi tumpuan awal kepada pembinaan asas kukuh di pasaran utama seperti Vietnam dan Brunei.
Melalui penilaian prestasi, maklum balas pelanggan serta trend pasaran secara berterusan, Chery Corporate Malaysia menyasarkan penembusan pasaran yang mampan.
Pendekatan tersusun berasaskan dapatan ini akan menjadi panduan kepada rancangan pengembangan seterusnya ke pasaran Asean lain pada masa hadapan. - DagangNews.com








