KUALA LUMPUR 20 Ogos - Datuk Idham Nawawi akan menamatkan tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CelcomDigi Bhd berkuat kuasa 31 Ogos 2025, menurut kenyataan syarikat itu hari ini.
CelcomDigi mengumumkan, Idham yang telah menerajui syarikat telekomunikasi tersebut selama tiga tahun selepas penggabungan Celcom dan Digi, akan menamatkan perkhidmatannya atas faktor “peribadi”.
Beliau akan mengambil peranan sebagai penasihat kepada lembaga pengarah sehingga 30 November 2025, bagi memberikan sokongan kepada pasukan kepimpinan.
Timbalan CEO, Albern Murty akan memangku jawatan CEO mulai 1 September 2025 di samping tanggungjawabnya sebagai timbalan CEO. Sebelum penggabungan Celcom-Digi, Albern merupakan CEO Digi.Com Bhd.
Idham menyertai Celcom Axiata Bhd, kini dikenali sebagai Celcom Bhd, pada 1 September 2018.
Menurut CelcomDigi, beliau berjaya memimpin transformasi syarikat dan memainkan peranan penting dalam menjayakan penggabungan Celcom dan Digi.
“Adalah suatu penghormatan untuk menerajui CelcomDigi sebagai CEO pengasas, termasuk penggabungan bersejarah antara Celcom dan Digi—yang mewujudkan syarikat telekomunikasi terbesar di Malaysia dan menandakan detik penting dalam sejarah korporat kami.
“Saya yakin bahawa CelcomDigi kini berada pada landasan kukuh untuk terus maju sebagai peneraju pasaran,” kata Idham dalam kenyataan tersebut.
CelcomDigi turut memaklumkan bahawa proses rasmi pencarian CEO baharu akan dimulakan, dengan calon dalaman dan luaran akan dipertimbangkan. - DagangNews.com








