CBH Engineering peroleh kontrak RM20.67 juta bina pencawang 275kV pusat data di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CBH Engineering peroleh kontrak RM20.67 juta bina pencawang 275kV pusat data di Johor

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 16 Okt – CBH Engineering Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh CBH Engineering Holding Bhd (CBHB) berjaya meraih kontrak bernilai RM20.67 juta bagi kerja-kerja reka bentuk dan pemasangan awal sistem voltan tinggi bagi pencawang 275kV di sebuah pusat data di Johor.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, CBHB berkata, kontrak tersebut diterima menerusi Arahan Kerja bertarikh 16 Oktober 2025 daripada sebuah syarikat infrastruktur digital, yang identitinya dirahsiakan atas sebab Perjanjian Tidak Didedahkan (NDA).

 

Kontrak ini melibatkan pembangunan infrastruktur kritikal yang menjadi nadi kepada operasi pusat data termasuk sistem saluran bawah tanah, sistem pembumian, struktur keluli, terminal kabel dan pemasangan voltan tinggi berkaitan.

 

Tempoh kontrak adalah bermula dari 16 Oktober 2025, dan dijangka siap secara praktikal pada 15 September 2026.

 

“Kontrak ini bernilai RM20.67 juta termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), dan dijangka memberikan impak positif kepada pendapatan dan aliran tunai CBHB bagi tahun kewangan akan datang,” kata syarikat itu.

 

CBH Engineering merupakan pemain aktif dalam bidang kontraktor pendawaian elektrik dan pembekalan komponen elektrik, dengan rekod prestasi dalam pelaksanaan projek berskala besar melibatkan utiliti, tenaga dan infrastruktur digital.

 

CBHB juga menjelaskan kontrak ini tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia, dan tidak akan menjejaskan pegangan saham-pemegang saham utama syarikat.  - DagangNews.com