KUALA LUMPUR 15 Okt - CB Industrial Product Holdings Bhd akan melupuskan kepentingannya dalam unit perladangan di Indonesia melalui penjualan Admiral Potential Sdn Bhd (APSB), yang memiliki 94% pegangan dalam PT Jaya Jadi Utama (PT JJU), kepada syarikat tersenarai di London Stock Exchange, Anglo-Eastern Plantations Plc dengan nilai sebanyak RM38.25 juta berserta wang tunai dalam dua anak syarikat tersebut.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, CB Industrial berkata PT JJU memiliki 7,169 hektar tanah ladang kelapa sawit di Kalimantan Tengah, yang terdiri daripada 1,153 hektar kawasan telah ditanam dan 5,772 hektar kawasan boleh ditanam.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, APSB dikehendaki memperoleh baki 6% ekuiti dalam PT JJU bagi membolehkannya menjadi pemegang saham tunggal sebelum transaksi tersebut dimuktamadkan.
“Apabila transaksi selesai, APSB dan PT JJU masing-masing akan berhenti menjadi anak syarikat langsung dan tidak langsung syarikat,” menurut syarikat itu.
Pelupusan ini dijangka akan mengakibatkan kerugian sebanyak RM8.23 juta, selepas mengambil kira kos pelaburan awal sebanyak RM17.85 juta, pendahuluan yang diberikan kepada APSB dan PT JJU berjumlah RM47.12 juta, serta pemerolehan baki kepentingan ekuiti dalam PT JJU sebanyak RM2.3 juta.
CB Industrial berkata pelupusan ini akan membolehkan kumpulan berkenaan mencairkan nilai pelaburannya dalam APSB dan PT JJU yang mengalami kerugian, serta memulihkan semula RM47.1 juta dalam pendahuluan yang diberikan kepada kedua-dua entiti tersebut setakat akhir tahun lalu.
“Transaksi ini membolehkan CB Industrial menyusun semula aktiviti perniagaannya dengan melupuskan unit yang tidak menguntungkan, mengagihkan semula sumber kepada unit yang menjana keuntungan, serta membuka peluang untuk mengambil bahagian dalam perniagaan yang lebih menguntungkan pada masa hadapan,” tambahnya.
Menurut CB Industrial, harga langganan ditentukan berdasarkan urus niaga antara pihak yang bebas dan bersetuju, selepas mengambil kira liabiliti bersih serta kerugian terkumpul bagi kedua-dua anak syarikat tersebut.
Tahun lalu, APSB dan PT JJU masing-masing mencatat liabiliti bersih sebanyak RM370,078 dan RM2.79 juta, dengan kerugian terkumpul berjumlah RM370,080 dan RM14.53 juta.








