KUALA LUMPUR 22 Julai – Capital Markets Malaysia (CMM), sebuah badan bersekutu kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), hari ini melancarkan Kalkulator Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) SEDG untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Alat mesra pengguna ini direka untuk membantu syarikat-syarikat Malaysia mengukur dan melaporkan pelepasan Skop 1 dan Skop 2 mereka berdasarkan Protokol GHG yang diiktiraf di peringkat global.
Pengerusi Eksekutif SC dan Pengerusi CMM, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, bagi kebanyakan PKS di Malaysia, terutamanya yang beroperasi dalam rantaian bekalan global, keupayaan untuk mengukur dan melaporkan pelepasan Skop 1 dan Skop 2 secara tepat adalah penting bagi memenuhi kehendak pendedahan daripada pelanggan mereka.
Beliau berkata, kalkulator GHG SEDG mempermudahkan proses yang kompleks ini, menjadikan pelaporan pelepasan lebih mudah dicapai walaupun kepada pengguna kali pertama.

Selain pelaporan, ia juga membantu syarikat mengenal pasti sumber pelepasan utama dalam operasi mereka, membolehkan mereka membuat keputusan yang lebih tepat dan bergerak ke arah tindakan iklim yang bermakna,” katanya.
“Kalkulator ini juga melengkapi usaha SC dalam menggalakkan pendedahan kemampanan yang konsisten dan berwibawa serta menyokong penerapan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan oleh syarikat-syarikat Malaysia,” tambah beliau.
Bagi memastikan konsistensi dan kredibiliti, Kalkulator GHG SEDG menggunakan metodologi yang mengikuti piawaian antarabangsa seperti GHG Protocol Corporate Accounting and Reporting Standard dan Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim (IPCC).
Piawaian ini juga digunakan oleh kerajaan Malaysia dalam Komunikasi Kebangsaan Dua Tahun Sekali (Biennial National Communications) kepada UNFCCC.
Kalkulator ini disertakan dengan faktor pelepasan yang telah diisi siap dari Laporan Penilaian ke-6 IPCC (AR6) bagi pembakaran bahan api yang biasa digunakan di Malaysia seperti diesel, petrol, LPG, gas asli, dan lain-lain.
Faktor pelepasan untuk penggunaan elektrik grid pula diperoleh daripada sumber tempatan seperti penerbitan Suruhanjaya Tenaga Malaysia.

Pengurus Besar CMM, Navina Balasingam berkata, “SEDG telah menerima sambutan yang meluas sejak pelancarannya pada Oktober 2023. Kami melihat sambutan yang kukuh daripada syarikat-syarikat Malaysia dan multinasional dengan rantaian bekalan besar yang menggunakan SEDG untuk menyokong pelaporan ESG oleh pembekal PKS mereka.
“CMM akan meneruskan bengkel-bengkel di seluruh negara untuk membantu PKS dalam rantaian bekalan mendedahkan data ESG secara berwibawa dan berkesan. Kalkulator ini adalah komponen penting dalam usaha ini, mempermudahkan lagi keperluan pendedahan ‘Emissions’ dalam SEDG,” katanya.
“Dalam membangunkan alat ini, kami telah menjalankan beberapa ujian penerimaan pengguna (UAT) bagi memahami keperluan dan jangkaan PKS dalam pelbagai sektor rantaian bekalan. Untuk memastikan akses yang meluas, kalkulator ini ditawarkan secara percuma dalam tiga bahasa – Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu dan Mandarin Ringkas,” tambahnya.
Memandangkan piawaian kemampanan global, jangkaan pelanggan dan keperluan pematuhan ESG terus berkembang, adalah penting untuk memastikan SEDG kekal relevan dan praktikal untuk perniagaan Malaysia.
Sejajar dengan itu, Capital Markets Malaysia turut mengumumkan pelancaran SEDG Versi 2, yang merangkumi tiga cadangan pendedahan tambahan bagi menyelaraskan lagi dengan keperluan pelaporan pelanggan global.
Sila layari: https://sedg.capitalmarketsmalaysia.com/ untuk maklumat lanjut. - DagangNews.com








