KUALA LUMPUR 15 Jan - Capital A Bhd telah mengurangkan pegangan sahamnya dalam AirAsia X Bhd (AAX) melalui pelupusan 17 juta saham biasa bernilai RM28.05 juta secara tunai.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam, Capital A berkata pelupusan tersebut dilaksanakan menerusi transaksi perniagaan langsung pada harga tersirat RM1.65 sesaham, selaras dengan harga terbitan penempatan persendirian AAX yang ditetapkan sehari sebelumnya.
Harga pelupusan itu merupakan diskaun kira-kira 4.07% berbanding harga penutupan saham AAX pada 13 Januari lalu iaitu RM1.72.
Menurut Capital A, diskaun tersebut adalah munasabah memandangkan saiz transaksi yang besar, mewakili sekitar 3.8% daripada jumlah saham terbitan AAX.
"Langkah itu bertujuan memastikan pegangan saham kolektif Capital A bersama pihak-pihak yang bertindak secara bersama (PAC) dikurangkan ke bawah paras ambang 33%, sebelum penyiapan penempatan persendirian AAX serta pengagihan saham balasan, sekali gus mengelakkan kewajipan tawaran mandatori," kata kumpulan itu dalam kenyataan.
Susulan pelupusan berkenaan, pegangan saham Capital A dalam AAX kini berkurang kepada 40.07 juta saham atau 8.96%, berbanding 12.77% sebelum ini.
Dari sudut kewangan, Capital A menjangkakan kerugian pelupusan kira-kira RM1.53 juta. Bagaimanapun, lembaga pengarah menyifatkan jumlah itu tidak material berbanding permodalan pasaran kumpulan yang dianggarkan sekitar RM1.95 bilion setakat hari dagangan terakhir.
Hasil pelupusan tersebut akan digunakan bagi menampung keperluan modal kerja am kumpulan untuk tempoh 12 bulan akan datang, termasuk perbelanjaan berkaitan pekerja dan kos pentadbiran.
Pelupusan itu turut diklasifikasikan sebagai transaksi pihak berkaitan berikutan pertindihan kepentingan pengurusan tertinggi kedua-dua syarikat. Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, dan Pengerusi Eksekutif, Datuk Kamarudin Meranun, dianggap berkepentingan kerana masing-masing merupakan pemegang saham utama dalam Capital A dan AAX.
Selain itu, Datuk Fam Lee Ee turut dianggap berkepentingan memandangkan beliau berkhidmat sebagai pengarah kanan bebas bukan eksekutif Capital A dan pada masa yang sama pengerusi bukan eksekutif bukan bebas AAX.
Jawatankuasa audit Capital A menegaskan bahawa transaksi tersebut adalah demi kepentingan terbaik syarikat, adil, munasabah serta dibuat berdasarkan terma komersial biasa, dan tidak memudaratkan kepentingan pemegang saham minoriti.
Lembaga pengarah, kecuali pengarah yang berkepentingan dan berkecuali daripada pengundian, sebulat suara bersetuju dengan penilaian itu, sambil menyatakan bahawa pelupusan ini membolehkan syarikat mengurangkan pegangan sahamnya dalam AAX secara tepat pada masanya dengan tahap kepastian yang lebih jelas terhadap pegangan saham kumpulan dan PAC-PACnya. - DagangNews.com








