CAAM diarah siasat kerosakan sistem bagasi KLIA, hukuman boleh dikenakan terhadap MAHB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CAAM diarah siasat kerosakan sistem bagasi KLIA, hukuman boleh dikenakan terhadap MAHB

KUALA LUMPUR 20 April - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diarahkan menjalankan siasatan berhubung kerosakan Sistem Pengendalian Bagasi (BHS) di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu.

 

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Kementerian Pengangkutan (MOT) memandang serius kerosakan BHS di KLIA Terminal 1 pada petang Sabtu kerana gangguan itu menyebabkan kelewatan bagasi antara dua hingga empat jam kepada sejumlah besar penumpang.

 

Beliau berkata, kesulitan yang dialami penumpang amat dikesali.

 

Siasatan dan Tindakan

“Walaupun saya mengambil maklum bahawa sistem BHS telah dipulihkan pada petang yang sama, pemulihan teknikal tidak bermakna perkara ini selesai.

 

“Penumpang yang melalui pintu masuk utama negara berhak mendapat tahap perkhidmatan yang boleh dipercayai dan insiden ini jelas gagal memenuhi kriteria tersebut.

 

“CAAM telah diarahkan untuk memulakan siasatan terhadap perkara ini dan meneliti sama ada tindakan berbentuk hukuman wajar dikenakan terhadap Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) atas kegagalan dalam penyampaian perkhidmatannya,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Loke berkata, beliau turut mengarahkan Ketua Setiausaha MOT, Jana Santhiran Muniayan supaya mengadakan mesyuarat tergempar bersama agensi berkaitan pada pagi Isnin.

 

“Mesyuarat tersebut akan melakukan semakan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sedia ada yang mengawal pengurusan kerosakan di lapangan terbang kita, dengan tumpuan khusus kepada masa tindak balas, komunikasi dengan penumpang dan protokol pelan kecemasan,” katanya.

 

Budaya Akauntabiliti

Beliau berkata, sebagai pintu masuk utama negara, KLIA tidak boleh berdepan kelemahan berulang seperti itu dan MAHB, selaku pengendali lapangan terbang berkenaan, akan dipertanggungjawabkan atas kerosakan tersebut.

 

Menurutnya, selain langkah pemulihan segera, insiden itu menunjukkan isu yang perlu ditangani pada tahap lebih serius.

 

“Kita tidak boleh merealisasikan aspirasi untuk menjadi antara lapangan terbang terbaik dunia tanpa terlebih dahulu menyemai budaya kebertanggungjawaban yang sebenar dalam organisasi.

 

“Standard yang kita tetapkan untuk diri sendiri mesti dizahirkan melalui cara kita bertindak balas, cara kita mengakui kegagalan dan cara kita memimpin sepanjang rantaian arahan.

 

“Jika kita serius dengan hasrat untuk menjadi lapangan terbang bertaraf dunia, kita juga mesti sama serius dalam memupuk budaya tanggungjawab yang setanding dengan aspirasi tersebut,” tegasnya.

 

Operasi Kembali Stabil

Sementara itu, CAAM dalam kenyataan berasingan mengesahkan KLIA Terminal 1 kembali stabil susulan gangguan sementara terhadap BHS yang berlaku petang semalam.

 

“Sistem tersebut telah dipulihkan dan operasi lapangan terbang, termasuk daftar masuk serta pelepasan penerbangan, telah kembali seperti biasa,” menurut kenyataan itu.

 

CAAM berkata, sebagai pengawal selia lapangan terbang berkenaan, pihaknya telah melaksanakan pemantauan ketat terhadap proses pemulihan dan terus berhubung dengan MAHB serta syarikat penerbangan bagi memastikan operasi stabil sepenuhnya.

 

Ia termasuk memastikan semua standard keselamatan serta perkhidmatan berkaitan dipatuhi.

 

Pematuhan Standard

Menurut CAAM, MAHB diwajibkan mematuhi standard Kualiti Perkhidmatan (QoS) yang ditetapkan, termasuk pengendalian bagasi penumpang secara tepat pada masanya dan cekap.

 

“Sehubungan itu, CAAM menguatkuasakan pematuhan terhadap keperluan ini dan akan mengambil tindakan pengawalseliaan serta penguatkuasaan yang sewajarnya sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan,” menurut kenyataan itu.

 

CAAM memaklumkan MAHB juga dikehendaki melaksanakan langkah pembetulan dan pencegahan yang perlu bagi mengelakkan kejadian berulang.

 

“CAAM komited mengekalkan standard tertinggi keselamatan, kualiti perkhidmatan dan kecekapan dalam sektor penerbangan Malaysia, serta akan terus memastikan akauntabiliti dalam kalangan semua entiti yang dikawal selia,” katanya. - BERNAMA