BWYS catat lonjakan hasil 30% pada 3QFY25 kepada RM74.8 juta, disokong permintaan kukuh sektor pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BWYS catat lonjakan hasil 30% pada 3QFY25 kepada RM74.8 juta, disokong permintaan kukuh sektor pembinaan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Nov – BWYS Group Berhad (BWYS), pengeluar produk kepingan logam dan pembekal perancah, mencatatkan prestasi kukuh bagi suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY25) dengan menyaksikan pendapatan melonjak 30.0% kepada RM74.8 juta berbanding RM57.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Dalam kenyataan hari ini, BWYS berkata, peningkatan ketara itu dipacu oleh permintaan berterusan daripada sektor pembinaan tempatan, selain pesanan kukuh daripada pelanggan sedia ada.

 

Katanya, Malaysia terus menjadi pasaran utama Kumpulan, mewakili 92.3% daripada keseluruhan pendapatan suku tersebut.

 

"Lonjakan hasil ini turut menyumbang kepada peningkatan keuntungan bersih kepada RM4.3 juta, hampir tiga kali ganda berbanding RM1.5 juta yang direkodkan pada 3QFY24.

 

"Margin keuntungan bersih turut meningkat kepada 5.8%, disokong kos operasi yang lebih rendah selepas tiada lagi perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja yang dicatatkan pada suku sebelumnya," katanya.

 

Pengarah Urusan BWYS, Kang Beng Hai berkata, keputusan suku ketiga ini mencerminkan daya tahan permintaan industri dan strategi pertumbuhan Kumpulan yang semakin berkesan.

 

“Kami sangat berpuas hati dengan keputusan suku ini. Permintaan kukuh daripada sektor pembinaan serta sokongan pelanggan setia memainkan peranan besar dalam mendorong pertumbuhan pendapatan kami,” katanya.

 

Beliau menambah prospek pertumbuhan Kumpulan dijangka bertambah baik berikutan usaha sama dengan Runwin International (HK) Holding Group Co., Limited untuk membangunkan talian pengeluaran gegelung keluli bersalut warna dengan kapasiti awal 150,000 tan setahun.

 

Projek kilang baharu di Pulau Pinang juga sedang berjalan mengikut jadual dan dijangka beroperasi pada suku pertama 2026.

 

Selain itu, cadangan pengambilalihan tanah industri seluas 28.9 ekar di Compass, Kota Seri Langat akan menjadi pemacu pertumbuhan masa depan, menyokong operasi teras dalam penyewaan dan pembekalan perancah serta pembuatan produk kepingan logam.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY25), BWYS merekodkan pendapatan RM201.7 juta, meningkat 11.2% berbanding RM181.4 juta pada tahun sebelumnya. Keuntungan bersih meningkat 94.5% kepada RM10.9 juta.

 

Lembaga Pengarah turut mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 0.05 sen sesaham, berjumlah kira-kira RM0.5 juta. - DagangNews.com