KUALA LUMPUR 29 Jan – Bursa Malaysia Berhad mencatat hasil sebanyak RM727.73 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY2025), menyusut berbanding RM784.3 yang direkodkan pada FY2024.
Keuntungan sebelum cukai pada FY2025 pula ialah sebanyak RM337.07 juta susut 17.9% berbanding RM410.35 juta pada tahun sebelumnya, dipengaruhi persekitaran dagangan pasaran sekuriti yang lebih lembap.
Bursa Malaysia berkata penurunan keuntungan itu selari dengan hasil operasi yang lebih rendah iaitu RM701.8 juta dalam FY2025, berbanding RM757.7 juta pada FY2024, berikutan penyusutan volum dagangan sekuriti di tengah sentimen pasaran global yang tidak menentu.
Bagaimanapun, Bursa Malaysia kekal mengekalkan prestasi yang berdaya tahan dengan sokongan pertumbuhan hasil bukan dagangan serta inisiatif pembangunan pasaran yang konsisten sepanjang tahun kewangan tersebut.
Lembaga Pengarah Bursa Malaysia mengumumkan dividen akhir sebanyak 14.0 sen sesaham, melibatkan pembayaran kira-kira RM113.3 juta yang akan dibayar pada 27 Februari 2026.
Dengan dividen interim 14.0 sen sesaham yang telah dibayar pada 27 Ogos 2025, jumlah dividen FY2025 mencecah 28.0 sen sesaham atau RM226.6 juta, mewakili nisbah pembayaran dividen sekitar 91%.
Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Farid Alias berkata keadaan pasaran global yang mencabar sepanjang 2025 telah memberi kesan kepada sentimen pelabur dan prestasi pasaran ekuiti, namun Bursa Malaysia kekal berdisiplin dalam pelaksanaan strategi dan berjaya mengekalkan prestasi yang stabil.
“Sejak disenaraikan pada 2005, Bursa Malaysia telah mengekalkan nisbah pembayaran dividen melebihi 90% dan mencatat pulangan keseluruhan pemegang saham sebanyak 455.6%, mencerminkan asas kewangan yang kukuh serta komitmen jangka panjang kepada penciptaan nilai,” katanya.
Dalam FY2025, hasil dagangan Pasaran Sekuriti menurun kepada RM308.2 juta berbanding RM381.5 juta pada FY2024, sejajar dengan penurunan 19.8% dalam purata nilai dagangan harian (ADV) bagi dagangan pasaran dan urus niaga perniagaan langsung.
Bagi Pasaran Derivatif pula, hasil dagangan mencatat penurunan kecil 0.9% kepada RM112.8 juta, terutamanya disebabkan yuran pengurusan cagaran yang lebih rendah, walaupun purata kontrak didagangkan harian meningkat 3.7% kepada 95,472 kontrak, iaitu paras tertinggi baharu untuk dua tahun berturut-turut.
Segmen Pasaran Islam menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila hasil operasi melonjak 31.2% kepada RM23.5 juta, didorong peningkatan hasil dagangan Bursa Suq Al-Sila’ (BSAS) kepada RM20.2 juta serta lonjakan lebih tiga kali ganda hasil Bursa Dinar Emas kepada RM3.3 juta.
Secara keseluruhan, purata nilai dagangan harian BSAS meningkat 18% kepada RM48.8 bilion, mencerminkan permintaan kukuh terhadap produk pasaran Islam di peringkat domestik dan antarabangsa.
Hasil perniagaan data turut meningkat 3.9% kepada RM81.4 juta hasil permintaan berterusan serta pertambahan pelanggan langganan, selain usaha berterusan Bursa Malaysia memacu amalan ESG dan pendedahan berkualiti melalui penyelesaian CSI.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed berkata aktiviti pengumpulan dana kekal stabil sepanjang FY2025 dengan Bursa Malaysia menerajui pasaran ASEAN melalui 60 penyenaraian awam permulaan (IPO), disokong oleh saluran penyenaraian yang sihat dan minat berterusan daripada penerbit.
Beliau menambah, pasaran modal Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026 disokong permintaan domestik yang stabil, pelaburan berterusan serta dasar yang jelas daripada kerajaan dan Bank Negara Malaysia.
“Bursa Malaysia terus fokus memperkukuh ekosistem pasaran selaras Pelan Strategik 2024–2026,” katanya. - DagangNews.com








