Buku tempahan MN Holdings mencecah RM918 juta, Maybank IB kekal saranan Beli dengan TP RM2.27 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buku tempahan MN Holdings mencecah RM918 juta, Maybank IB kekal saranan Beli dengan TP RM2.27

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Jan – MN Holdings Bhd dijangka mencatat momentum pendapatan yang berterusan pada suku kedua kewangan FY26, disokong oleh  siapnya beberapa projek pusat data (DC) seperti yang dijadualkan, kata Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata prospek tender syarikat menunjukkan peningkatan ketara kepada RM2.8 bilion, naik 172% berbanding suku sebelumnya.

 

“Momentum pendapatan MN Holdings disokong oleh buku tempahan tertunggak bernilai RM918.1 juta, termasuk kemenangan projek pusat data baharu bernilai RM122.7 juta.

 

“Projek-projek ini dijangka siap pada tempoh terdekat dan akan terus menyumbang kepada pendapatan syarikat pada suku kedua FY26,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Dua projek utama yang dijangka menjadi pemacu pendapatan ialah sub-stesen reka bentuk dan bina untuk Customer C bernilai RM169.6 juta serta Customer E bernilai RM180 juta. Kedua-dua projek ini melibatkan pembangunan pusat data berskala besar di kawasan selatan Malaysia.

 

Selain itu, Maybank IB berkata tender MN Holdings juga meningkat dengan ketara pada Januari 2026, naik 172% kepada RM2.8 bilion daripada RM1 bilion pada November 2025. Peningkatan ini didorong oleh tender baharu dalam projek TNB yang meningkat 390% dan projek pusat data meningkat 146%.

 

“Tender baharu TNB melibatkan kerja naik taraf infrastruktur grid voltan tinggi antara 132kV hingga 275kV. Ia bertujuan menyokong aliran projek pusat data yang kukuh, terutamanya di negeri Johor.

 

“Bagi projek pusat data, MN Holdings sedang membida untuk lima hingga enam projek bernilai RM1 bilion. Ini termasuk tiga projek dengan pelanggan utama Customer A, dengan nilai keseluruhan kira-kira RM600 juta.

 

“Projek-projek ini merangkumi pembangunan beberapa pusat data Customer A di Johor dan Lembah Klang,” katanya.

 

Selain itu, MN Holdings juga merekodkan peningkatan tender daripada sektor solar, berkaitan kerja  untuk projek LSS5, LSS5+ dan CRESS.

 

Sebahagian besar tender bernilai RM2.8 bilion dijangka dimuktamadkan pada separuh kedua FY26, menyokong sasaran pengisian buku tempahan syarikat sebanyak RM500 juta.

 

Sehingga kini, MN Holdings mencatat kemenangan baharu FY26 berjumlah RM194 juta, selaras dengan unjuran Maybank IB.

 

“Sehubungan itu, kami mengekalkan saranan beli untuk MN Holdings dengan harga sasaran RM2.27, yang memberikan potensi kenaikan 37% daripada harga saham semasa RM1.66,” katanya.

 

Pada suku kedua FY25, MNH mencatat keuntungan bersih rekod RM12.7 juta, meningkat 217% tahun ke tahun, yang menjadi kejutan positif dalam pendapatan syarikat, sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.

 

Dalam tempoh tiga tahun FY25–28E, Maybank IB menjangkakan CAGR keuntungan bersih teras sebanyak 19.7%, disokong oleh projek sub-stesen dan utiliti bawah tanah yang stabil. 

 

Buku tempahan sedia ada bernilai RM864 juta manakala senarai tender aktif berjumlah RM1.2 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan sederhana bagi syarikat. 

 

Pertumbuhan syarikat juga disokong oleh projek pusat data dan sub-stesen TNB yang sedang berjalan serta peluang meningkat dalam bidang solar dan infrastruktur utiliti.

 

Namun, Maybank IB mengingatkan beberapa faktor risiko termasuk kelewatan projek, kos bahan meningkat atau gangguan rantaian bekalan, serta persaingan sengit dalam segmen utiliti bawah tanah yang boleh menekan margin keuntungan atau menyebabkan kekalahan tender. - DagangNews.com