Buka restoran di KLIA2 menjelang Aidilfitri: Strategi mantap Banglo 289 capai hasil RM46 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Buka restoran di KLIA2 menjelang Aidilfitri: Strategi mantap Banglo 289 capai hasil RM46 juta

Oleh TENGKU NOOR SHAMSIAH TENGKU ABDULLAH

KUALA LUMPUR 20 Feb - Rangkaian restoran masakan Melayu, Banglo 289 terus memperkukuh kehadirannya dengan rancangan membuka cawangan keempat di KLIA2 menjelang Hari Raya Aidilfitri, sambil menampilkan bufet Ramadan 2026 sebagai strategi utama menarik pelanggan baharu dan meningkatkan kesedaran jenama.

 

Ketua Pegawai Eksekutif, Shareen Farzida Sukri berkata langkah ini adalah sebahagian daripada pelan untuk menggandakan hasil syarikat kepada RM46 juta menjelang 2027.

 

"Tahun kewangan 2025 dijangka mencatat hasil RM23 juta, dipacu prestasi cawangan sedia ada dan pengenalan menu bermusim yang bertindak sebagai pemangkin kehadiran pelanggan," katanya kepada DagangNews.

 

 

shareen
                              Shareen Farzida Sukri 

 


Beliau menekankan, bufet Ramadan 2026 di cawangan utama Jalan Raja Chulan bukan sekadar promosi perayaan, tetapi strategi perniagaan untuk menarik pelanggan baharu dalam pasaran restoran Melayu yang kompetitif.

 

Bufet bertemakan “Traditional Kampung Dishes with Soul and Journey” menampilkan masakan Melayu warisan menggunakan bahan segar premium dan kaedah tradisional.

 

Antara hidangan istimewa Ramadan termasuk daging rusa, ikan sungai jarang ditemui dari Pahang seperti krai dan jelawat, serta makanan laut premium seperti udang mentadak dan lala malaikat.

 

Pendekatan ini membolehkan Banglo 289 menukar pelanggan kali pertama menjadi pelanggan tetap selepas Ramadan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Banglo 289 Ramadan Buffet 2026: Kampung Flavours, Rare Finds, and Value You Can Taste

 

Sejak ditubuhkan pada 2022, Banglo 289 berkembang dari satu cawangan di Jalan Raja Chulan ke Elmina Lakeside Mall (2024) dan IOI City Mall (2025). Cawangan KLIA2 dijangka menarik pengembara dan pekerja lapangan terbang, menambah segmen pelanggan baru kepada portfolio syarikat.

 

Setiap cawangan disesuaikan mengikut demografi berbeza — cawangan pusat bandar fokus kepada pekerja pejabat, manakala lokasi di pusat beli-belah menarik keluarga dan komuniti pinggir bandar.


 

solar

 

solar

 

solar

 


Berbeza dengan pesaing, Banglo 289 tidak menggunakan dapur pusat. Setiap cawangan menyediakan makanan segar setiap hari bagi mengekalkan rasa asli dan identiti masakan Melayu tradisional.

 

“Model ini lebih mencabar, tetapi ia membolehkan kami mengekalkan kualiti dan konsistensi walaupun berkembang,” kata Shareen.

 

Dalam pasaran makanan Melayu yang padat, Banglo 289 bersaing berdasarkan jumlah pelanggan, bukan harga premium. Harga yang mampu milik menjadikan jumlah pelanggan penggerak utama pertumbuhan syarikat.

 

Dengan pelan peluasan jelas, momentum hasil yang kukuh dan tawaran kulinari autentik, Banglo 289 kini mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain F&B tempatan yang berpotensi berkembang secara mampan. - DagangNews.com