​​​​​​​Budi95 dilaksanakan secara berperingkat bagi atasi ketirisan, kumpulan T15 mungkin dikecualikan selepas itu, kata pembantu menteri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Budi95 dilaksanakan secara berperingkat bagi atasi ketirisan, kumpulan T15 mungkin dikecualikan selepas itu, kata pembantu menteri

IPOH 24 Sept - Pelaksanaan berperingkat inisiatif Budi Madani RON95 (Budi95) bertujuan memastikan proses pengagihan subsidi lebih tersusun serta mengelakkan ketirisan, kata Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

 

Beliau berkata, di bawah fasa pertama, semua rakyat Malaysia yang mempunyai kad pengenalan dan lesen memandu yang sah boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter.

 

“Selepas fasa pertama ini, kita mahu lihat bagaimana pelaksanaannya, dan dari situ kita akan tambah baik lagi. Sebagai contoh, selepas ini, kumpulan T15 mungkin tidak termasuk dalam senarai penerima subsidi RON95,” katanya.

 

“Matlamat kita adalah memastikan proses peralihan ini berjalan lancar, dengan gangguan minimum, sambil menangani sebarang isu teknikal dalam pelaksanaan. Kita mahu dasar ini dilaksanakan dengan berkesan agar mencapai objektif kerajaan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Malaysian SDG Community Health Observatory Network (MASCHON) di Dewan NCMS-CARITAS, di sini hari ini.

 

Muhammad Kamil berkata, beliau memahami jika ada pihak yang membangkitkan kebimbangan mengenai had subsidi petrol RON95 sebanyak 300 liter di bawah inisiatif ini, namun menegaskan keputusan tersebut dibuat berdasarkan purata penggunaan rakyat selepas beberapa siri sesi libat urus.

 

“Saya tiada masalah dengan pandangan berbeza, dan kita harus menerimanya. Kerajaan hari ini, seperti yang saya sebutkan, adalah kerajaan yang mendengar. Namun, keputusan menetapkan had pada 300 liter dibuat selepas pertimbangan teliti dan pelbagai sesi libat urus,” katanya.

 

Beliau berkata purata penggunaan bulanan petrol di negara ini adalah antara 200 hingga 220 liter, dan kerajaan menetapkan had 300 liter bagi mengelakkan sebarang isu.

 

Tambahnya, kerajaan akan menilai semula had 300 liter sebulan itu dari semasa ke semasa untuk menentukan sama ada ia mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat.

 

“Jika kita tidak tetapkan had, maka tiada mekanisme kawalan untuk RON95. Ini akan membuka ruang kepada penyalahgunaan, kerana ada pihak mungkin mengambil kesempatan terhadap subsidi untuk mengaut keuntungan, dan isu ketirisan akan kekal tidak selesai,” katanya.

 

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan di bawah Budi95, rakyat Malaysia boleh membeli petrol RON95 pada harga RM1.99 seliter berbanding RM2.05 sebelum ini, berkuat kuasa 30 Sept, tanpa mengira tahap pendapatan.

 

Bagi bukan warganegara, harga RON95 ditetapkan pada RM2.60 seliter mulai tarikh yang sama. - BERNAMA