Brooks Automation labur AS$60 juta di Johor, sedia 160 peluang pekerjaan dengan gaji lumayan - Onn Hafiz | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Brooks Automation labur AS$60 juta di Johor, sedia 160 peluang pekerjaan dengan gaji lumayan - Onn Hafiz

Gambar Facebook MB Johor
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Jan – Brooks Automation, syarikat global dalam automasi semikonduktor dan robotik, melabur sebanyak AS$60 juta untuk membangunkan kilang berteknologi tinggi seluas 180,000 kaki persegi di Johor. 

 

Pelaburan besar ini membuktikan kedudukan Johor sebagai lokasi strategik bagi syarikat teknologi tinggi dan kemudahan yang disediakan Johor dalam memperkukuh ekosistem perindustrian negeri.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata hasil pelaburan itu, seramai 160 rakyat Malaysia, majoritinya warga Johor, kini berpeluang menjawat pekerjaan bergaji tinggi di syarikat tersebut. 

 

“Kerajaan negeri komited memastikan setiap pelaburan strategik di Johor memberi manfaat langsung kepada rakyat, mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti dan memperkukuh ekosistem perindustrian. 

 

“Langkah ini selari dengan usaha negeri memacu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Johor Talent Development Council (JTDC) mensasarkan untuk pekerjaan berpendapatan tinggi dengan gaji bermula RM4,000 hingga RM5,000 ke atas, bergantung kepada tahap kemahiran dan kepakaran teknikal pekerja. 

 

Langkah ini selaras dengan keperluan industri bernilai tinggi serta ekonomi masa depan.

 

Onn Hafiz berkata pelaburan tersebut telah membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi, dengan 300 jawatan diwujudkan secara keseluruhan, termasuk lebih 160 jawatan berpendapatan tinggi. 

 

“Keutamaan diberikan kepada bakat tempatan, selain penyediaan latihan industri secara berterusan bagi meningkatkan kemahiran pekerja.

 

“Selain itu, penglibatan 29 vendor tempatan dalam rantaian bekalan Brooks Automation dijangka merangsang aktiviti ekonomi setempat. Langkah ini turut memperkukuh ekosistem industri Johor dan menyokong pertumbuhan usahawan tempatan,” katanya.

 

Beliau turut meninjau kemudahan yang disediakan di Kuarters Pekerja Bersepadu dengan lebih 3,000 pekerja industri ditempatkan di situ. 

 

“Kuarters ini dilengkapi dengan kemudahan asas termasuk pasar mini, perkhidmatan dobi dan gimnasium bagi menjaga kebajikan serta keselesaan pekerja.

 

“Kita berharap pelaburan sebegini akan terus menarik syarikat teknologi tinggi untuk menubuhkan kilang mereka di negeri ini. Ia juga dilihat sebagai langkah penting untuk memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab industri dan teknologi di Malaysia,” katanya. - DagangNews.com