BNM kekalkan OPR 2.75%, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan sepanjang 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

BNM kekalkan OPR 2.75%, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berdaya tahan sepanjang 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Jan — Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75%.


Keputusan berkenaan jelas bank pusat itu, selaras dengan penilaian bahawa pendirian dasar monetari semasa adalah kekal menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.


Dalam kenyataannya, bank berkenaan memaklumkan yang pertumbuhan global bagi 2025 adalah lebih baik daripada jangkaan, disokong antaranya oleh faktor tarif perdagangan dunia lebih rendah.


Tambahnya, situasi positif itu turut didorong perbelanjaan teknologi dengan berteraskan kepada kecerdasan buatan (AI) yang didapati semakin meningkat serta sokongan fiskal pula terus lebih kukuh.


"Bagi 2026, pertumbuhan global dijangka masih lagi kekal berdaya tahan meskipun berdepan risiko tarif, ketegangan geopolitik dan volatiliti pasaran kewangan," kata kenyataan BNM.


Dari segi ekonomi domestik pula, bank tersebut menjangkakan pertumbuhan Malaysia pada 2025 berada pada paras atas julat unjuran dan momentum ini dijangka berterusan sepanjang tahun ini.


Keadaan ini katanya, dipacu permintaan dalam negeri yang kukuh, manakala guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah dasar berkaitan pendapatan dijangka menyokong perbelanjaan isi rumah.


Selain itu tambah BNM lagi, aspek pelaburan di negara ini akan disokong oleh kemajuan projek yang berbilang tahun daripada sektor awam dan swasta serta pelaksanaan pelan induk nasional.


"Sektor luaran pula dijangka mendapat manfaat daripada prestasi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang berterusan kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong ke Malaysia," tambahnya.


Bagaimanapun, ia menegaskan prospek pertumbuhan masih tertakluk kepada ketidakpastian global, termasuk risiko perdagangan yang perlahan dan pengeluaran komoditi rendah daripada jangkaan.


Sementara dari segi inflasi, kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing dianggarkan purata 1.4% dan 2% pada 2025, manakala bagi 2026, inflasi keseluruhan diramal masih kekal sederhana.

 

 

 

 

 


BNM menambah, ia berikutan kos global yang terus reda, manakala inflasi teras diunjurkan stabil dan hampir kepada purata jangka panjang, mencerminkan ketiadaan tekanan permintaan berlebihan.


"MPC menegaskan pada paras OPR semasa, dasar monetari adalah sesuai dan terus dipantau bagi memastikan keseimbangan risiko prospek pertumbuhan dan inflasi terkawal," katanya. - DagangNews.com