KUALA LUMPUR 21 Jan – Binastra Corporation Bhd memperoleh kontrak bernilai RM742.9 juta bagi kerja-kerja pembinaan bangunan utama kediaman bertingkat di Taman Pelangi, Johor Bahru.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikat milik penuhnya, Binastra Builders Sdn Bhd, menerima surat lantikan daripada Maxim Pelangi Sdn Bhd bagi pembinaan projek The Address @ Taman Pelangi.
Kontrak tersebut termasuk jumlah peruntukan luar jangka sebanyak RM20 juta, melibatkan pembangunan pangsapuri servis setinggi 72 tingkat yang terdiri daripada tiga menara dengan keseluruhan 2,743 unit.
Projek itu turut merangkumi podium tempat letak kereta berbilang tingkat, ruang komersial serta kemudahan sokongan lain.
Kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 5 Mac 2026 dan disasarkan siap dalam tempoh 38 bulan.
Mengulas perkembangan itu, Pengarah Urusan, Datuk Jackson Tan Kak Seng berkata, kumpulan berasa teruja untuk memperoleh satu lagi kemenangan projek utama ketika menghampiri penutupan FY2026 yang berakhir pada 31 Januari 2026.
Beliau berkata, kontrak berkenaan meningkatkan jumlah keseluruhan kontrak baharu yang diperoleh bagi tahun kewangan itu kepada RM4.2 bilion, sekali gus melepasi sasaran setahun penuh dan melonjakkan buku pesanan tertunggak kumpulan ke paras rekod RM6.6 bilion.
Menurut Binastra, kontrak tersebut dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan kumpulan dari FY2027 hingga FY2030.
Kumpulan itu turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau pihak yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan.
Secara strategik, projek itu terletak di Taman Pelangi, bertentangan dengan pejabat Binastra di Johor Bahru serta berada dalam kawasan perbandaran matang dengan akses kepada hab komersial, kediaman dan rekreasi utama.
Binastra Builders memegang lesen Gred 7 daripada Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), yang membolehkannya melaksanakan kontrak pembinaan tanpa had nilai. - DagangNews.com








